DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika berucap sempena majlis perasmian Persidangan Geosains Kebangsaan ke- 30 di Istana Hotel. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika berucap sempena majlis perasmian Persidangan Geosains Kebangsaan ke- 30 di Istana Hotel. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Garret Dawum


FASA kedua Program Sistem Amaran Awal Banjir (PRAB) akan menumpukan kawasan Lembah Klang dan Utara Semenanjung terutama di Kedah serta Pulau Pinang.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, PRAB dapat meramal banjir dalam tempoh dua hari lebih awal dengan ketepatan lebih 90 peratus.

"Bagaimanapun, data baharu taburan hujan fasa pertama di tiga buah negeri terbabit yang sedang dikumpul dan akan diperoleh penghujung November ini menentukan lokasi pelaksanaan PRAB fasa kedua.

"Setakat ini, sebanyak 350 stesen hidrologi sedang giat dipasang di kawasan lembangan sungai di Kelantan, Pahang dan Terengganu bagi membolehkan sistem berkenaan beroperasi untuk fasa pertama," katanya selepas merasmikan Persidangan Geologi Kebangsaan ke-30 dan sambutan ulang tahun ke-50 Persatuan Geologi Malaysia di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, jumlah perbelanjaan untuk fasa kedua hanya akan diumumkan dalam Bajet 2018 akhir bulan ini.

"Kita sudah memohon sebanyak RM560 juta untuk pelaksanaan fasa kedua PRAB yang berpusat di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Sistem itu pula akan dikawal oleh Pusat Ramalan Awal Banjir Negara (PRABN) di bawah JPS berfungsi dengan menyerap data hujan daripada radar melalui stesen hidrologi yang dipasang di kawasan yang dikesan selalu berlaku banjir," katanya.

Beliau menambah, data yang dikumpul kemudian disalurkan kepada agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menghadapi banjir yang akan melanda.

"Sistem ini boleh meramal lebih awal bila banjir akan berlaku dan sebesar mana impaknya berdasarkan data dari radar yang diperoleh.

"Jadi pihak berkenaan mempunyai masa yang banyak untuk membuat persediaan termasuk urusan memindahkan orang ramai sebelum banjir terjadi," katanya.

PRAB di tiga negeri fasa pertama dijangka siap sepenuhnya dan dilancarkan tahun depan tetapi sudah boleh beroperasi mulai November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 5:15 PM