DR Wan Junaidi
DR Wan Junaidi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penduduk di pantai timur akan dimaklumkan seminggu sebelum banjir melanda apabila Program Sistem Amaran Awal Banjir (PRAB) mula beroperasi November ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pada masa ini sebanyak 350 stesen hidrologi sedang giat dipasang di kawasan lembangan sungai di Kelantan, Pahang dan Terengganu bagi membolehkan sistem berkenaan beroperasi.

“Sistem yang berpusat di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini boleh meramal banjir seawal tujuh hari berbanding sistem sedia ada sekarang iaitu seawal tiga hari,” katanya pada Majlis Hari Raya JPS.

Turut hadir Ketua Pengarah JPS, Datuk Seri Zulkefli Hassan.

Katanya sistem yang akan dikawal oleh Pusat Ramalan Awal Banjir Negara (PRABN) di bawah JPS ini akan berfungsi dengan menyerap data hujan daripada radar melalui stesen hidrologi yang dipasang di kawasan yang dikesan selalu berlaku banjir.

Katanya, data yang dikumpul kemudian disalurkan kepada agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menghadapi banjir.

“Sistem ini boleh meramal lebih awal bila banjir akan berlaku dan sebesar mana impaknya berdasarkan data dari radar yang diperolehi. Jadi pihak berkenaan mempunyai masa yang banyak untuk membuat persediaan termasuk urusan memindahkan orang ramai sebelum banjir terjadi,” katanya.

Katanya, sistem yang mendapat kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia akan diperluaskan di seluruh negara kelak.

“PRAB di tiga negeri itu dijangka siap sepenuhnya tahun depan tetapi boleh beroperasi mulai November ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 5:47 AM