BILIK Kawalan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara pada sidang media kempen tangani banjir dengan teknologi terkini di JPS Jalan Ampang. FOTO FATHIL ASRI.
BILIK Kawalan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara pada sidang media kempen tangani banjir dengan teknologi terkini di JPS Jalan Ampang. FOTO FATHIL ASRI.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) mampu meramal seminggu sebelum berlakunya banjir.

Ia sekali gus memberi ruang kepada agensi berkaitan termasuk penduduk di kawasan berlakunya banjir melakukan persediaan bagi berdepan fenomena alam berkenaan.

Pengarah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir Mohd Razali Husain berkata, sistem ramalan dan amaran banjir sebelum ini bergantung kepada sumber terhad.

"Ia hanya mampu memberikan ramalan seawal dua hari dan amaran enam jam sebelum banjir berlaku.

"Transformasi PRAB yang lebih baik membolehkan persediaan dan persiapan rapi dijalankan agensi penyelamat kerana ramalan (banjir) oleh PRAB seawal tujuh hari dan amaran banjir dua hari kepada komuniti terkesan," katanya ketika melancarkan Kempen Amaran dan Ramalan Informasi Banjir (Karib) di JPS Malaysia di Ampang, di sini, hari ini.

Mohd Razali berkata, menerusi penambahbaikan sistem PRAB ini, ia memberi manfaat kepada agensi penyelamat dan penduduk terkesan.

"Agensi penyelamat dapat menyusun strategi operasi pemindahan penduduk dengan lebih cekap dan teratur.

"Ia juga dapat memberikan masa mencukupi kepada penduduk untuk bertindak seterusnya mengurangkan kerugian harta benda dan menyelamatkan nyawa," katanya.

Menurutnya, fasa pertama PRAB sudah mula beroperasi di lembangan sungai Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala fasa kedua sedang dijalankan di 38 lembangan sungai utama seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, katanya, walaupun PRAB dijangka memberi kebaikan dalam mendepani banjir namun kesedaran komuniti masih kurang.

"Berdasarkan kajian pada Februari 2020, hanya 55 peratus penduduk di kawasan banjir mengetahui adanya pelan perancangan menghadapi banjir melalui PRAB termasuk hebahan info banjir dalam talian.

"Malah, ada penduduk yang masih bersikap tunggu dan lihat serta tidak yakin dengan penyampaian kerajaan.

"Namun, JPS akan meneruskan kempen mendekati komuniti supaya mereka sentiasa bersedia dalam menangani banjir monsun yang kerap berlaku di negara kita," katanya.

Tambahnya, transformasi PRAB juga memperkenalkan pangkalan data ramalan berpusat yang mampu memberikan liputan ramalan banjir lebih meluas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 10:08 PM