Megat Aminuddin menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek pecah rumah. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
Megat Aminuddin menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek pecah rumah. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS menumpaskan sindiket pecah rumah didalangi tiga lelaki dan merampas barangan bernilai lebih RM200,000, bulan lalu.

Antara dirampas ialah Honda Civic, Honda CRV dan Toyota Camry, 35 utas jam tangan berjenama, lapan kamera, lima beg tangan wanita serta peralatan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Aminuddin Megat Alias berkata, kumpulan penjenayah berkenaan aktif melakukan kegiatan pecah rumah sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sejak dua bulan lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat yang diterima, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan suspek dan berjaya menahan empat lelaki bersama dua wanita dalam serbuan di sebuah hotel di Chemor, Perak pada 29 September lalu.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, tiga dikenal pasti sebagai dalang utama pecah rumah, manakala seorang lagi lelaki dan dua wanita ditahan untuk siasatan lanjut kerana berada bersama suspek.

“Polis juga merampas pelbagai barangan di sebuah rumah di Cheras, Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media di IPD Serdang, hari ini.

Polis percaya dengan penangkapan suspek, sebanyak 10 kes pecah rumah dan kes curi kenderaan berjaya diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 3:53 PM