FOTO Norizuan Shamsuddin
FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


Serdang: Polis menahan dua buruh warga Indonesia dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi motosikal dalam dua serbuan di daerah berkenaan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, tangkapan dilakukan susulan kejadian pecah rumah yang berlaku di Taman Jinna, Sri Kembangan, jam 4.30 petang, Selasa lalu.

Katanya, hasil risikan dan maklumat polis menyerbu sebuah rumah pangsa di Taman Bukit Serdang, di sini, jam 8.30 pagi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 30-an.

"Polis turut merampas peralatan pecah rumah dan menemui motosikal model Yamaha Ego yang dilaporkan hilang di daerah ini, Sabtu lalu.

"Hasil soal siasat membawa kepada penahan rakan suspek di kawasan perumahan Phase 2B, Seri Kembangan, pada jam 10.30 pagi, hari sama dan merampas tiga unit telefon bimbit.

"Polis turut membuat pemeriksaan di sebuah rumah milik suspek pertama di Taman Sri Serdang dan menemui komputer riba serta empat unit telefon bimbit disyaki hasil kegiatan pecah rumah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini, hari ini.

Menurutnya, dua suspek terbabit kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 2:44 PM