Iskandar Shah Mohamed


LEMBAGA Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mematahkan cubaan menyeludup 10 kontena kayu balak bulat spesis keruing bernilai RM500,000 yang mahu dieksport ke luar negara di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, pada 22 0gos lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Jalaluddin Harun berkata, kes itu mula dikesan sejak hujung Julai lalu menerusi permohonan sembilan permit eksport daripada pembekal secara atas talian yang dibuat oleh sebuah syarikat pengeksport di Pahang.

"Penahanan semua kontena itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Westport Malaysia Sdn Bhd menerusi risikan serta maklumat yang diperoleh.

"Siasatan awal mendapati sebanyak 130 batang kayu balak keruing itu mahu dieksport ke India namun diikrarkan sebagai kayu gergaji. Ia kemudian berjaya dikesan untuk tindakan lanjut pada jam 11 malam, 22 Ogos lalu," katanya pada sidang media di Kompleks Pemeriksaan Berpusat (CIC) Pelabuhan Barat, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKDM Selangor, Ahmad Fuad Shahaluddin.

Menurutnya, kayu balak bulat adalah keluaran kayu yang dilarang pengeksportannya sejak 1990 mengikut peraturan Buletin Eksport Kayu Kayan (TEB) 2/87 (Revised 0590): Sekatan Ke Atas Eksport Kayu Gergaji dan Keluaran Kayu.

"Ia bertujuan memastikan bekalan bahan mentah mencukupi bagi menggalakkan industri bernilai tambah tinggi berkembang terutama dalam industri pembuatan perabot.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didakwa mengikut Akta 105 MTIB (Pemerbadanan) 1973 yang memperuntukkan denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun," katanya.

Jalaluddin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengesan pihak berkaitan dan mengambil tindakan penalti serta penggantungan lesen selepas memperoleh bukti kukuh kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 12:13 PM
Jalaluddin (kanan) dan Ahmad Fuad (kiri) memeriksa kayu balak keruing yang dirampas. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
Jalaluddin (kanan) dan Ahmad Fuad (kiri) memeriksa kayu balak keruing yang dirampas. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.