Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman, menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas baru-baru ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman, menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas baru-baru ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merampas 10.79 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine yang dibungkus menggunakan label durian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan dijalankan susulan maklumat Pasukan Operasi Penguatkuasaan JKDM Tawau ke atas premis perkhidmatan kurier di Jalan Bakau, di sini, antara jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 9 Mac lalu.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah dengan menyembunyikan bahan terlarang itu menggunakan bungkusan makanan "168 Freeso-Dried Durian" yang diletakkan di dalam kotak ditulis sebagai peralatan memancing.

"Bungkusan dibawa syarikat perkhidmatan kurier menggunakan jalan darat sebelum tiba di daerah ini, dengan alamat penerima hanya tertera nama sahaja untuk tujuan pengambilan sendiri.

"Bagaimanapun, selepas di periksa didapati kesemua 10 bungkusan plastik berkenaan mengandungi 10.79 kg hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dengan nilai anggaran sebanyak RM356,070.00," katanya pada sidang media di pejabat JKDM Tawau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata susulan rampasan itu, pihaknya menahan pengurus syarikat perkhidmatan kurier terbabit bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan JKDM Tawau berjaya menahan tiga kontena mengandungi 101 batang kayu balak (jati) dan 1514 batang kayu bergergaji bernilai RM80,322.23 dengan duti eksport sebanyak RM7,129.36 disyaki cuba dieksport ke negara India tanpa permit sah.

"Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 2:37 PM