PENGARAH Urusan Bidin Bin Jasin Sdn Bhd, Zaharin Bidin (kiri) melihat pekerja membuat kerusi berasaskan kayu.
PENGARAH Urusan Bidin Bin Jasin Sdn Bhd, Zaharin Bidin (kiri) melihat pekerja membuat kerusi berasaskan kayu.
Mohamad Hussin

Stigma bahawa penggunaan kayu dan buluh hanya digunakan untuk membuat produk kraf tangan semata-mata perlu diubah kerana masyarakat terutama pemain industri perlu melihat skop yang lebih meluas dan menguntungkan.

Kebanyakan industri kayu-kayan negara masih jauh ketinggalan berbanding negara lain. Walhal, industri berkenaan antara sumber pendapatan selain produk terutama dalam bahan pembinaan dan pembuatan perabot.

Penulis berkesempatan mengikuti lawatan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bersama rakan media lain ke Perak dan Kedah, untuk melihat sendiri teknologi pemprosesan industri hiliran terkini.

Antara lokasi lawatan ialah Crop for The Future Research Centre, The University of Nottingham Malaysia Campus (UNiM); Bamboo Jungle Adventure (BJA), Syarikat Pioneer OSB Sdn Bhd, Syarikat The One Gaharu Sdn Bhd, Kilang Bidin Bin Jasin, Syarikat Idea Craft & Wood dan The Ritz-Carlton, Langkawi.

Ketua Pengarah MTIB Datuk Dr Jalaluddin Harun berkata, sebagai agensi teraju dalam membangunkan industri perkayuan negara, MTIB sangat mengambil berat perspektif kemajuan industri ini.

MAZREE (depan empat dari kiri) bersama pengurusan kanan MTIB melawat kilang OSB.
MAZREE (depan empat dari kiri) bersama pengurusan kanan MTIB melawat kilang OSB.

“MTIB akan memastikan pelan tindakan yang digariskan dalam Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP) sentiasa dilaksanakan supaya matlamat untuk mencapai nilai eksport RM25 bilion menjelang 2020 akan terlaksana.

“Kami sentiasa menekankan aspek pembangunan modal insan sebagai aset terpenting kerana daripadanya, usaha bagi menggembleng pembangunan industri kayu khususnya produk kayu bernilai tambah tinggi akan dapat dimaterialisasikan.

“Atas dasar ini, MTIB perlu proaktif di samping mempunyai semangat bekerja dan kesungguhan untuk memastikan segala program, pelan tindakan dan aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut indeks prestasi utama (KPI) ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Lawatan Mengenal Industri Perkayuan oleh Agensi Media serta Perbankan ke Wilayah Utara, baru-baru ini. Hadir sama, Timbalan Pengarah, Pejabat Ketua Pengarah MTIB Mazree Iman.

PENGASAS BJA Ahmad Mazlan Othman menerangkan kepada wakil media dan pengurusan MTIB mengenai fungsi buluh.
PENGASAS BJA Ahmad Mazlan Othman menerangkan kepada wakil media dan pengurusan MTIB mengenai fungsi buluh.

Dr Jalaluddin berkata, objektif program ini adalah untuk memperkenalkan industri perkayuan negara terutama dalam penggunaan teknologi pemprosesan industri hiliran terkini.

“Ia dapat menyampaikan maklumat terkini berkenaan kemajuan dan prestasi kepelbagaian produk perkayuan yang memberi sumbangan kepada sosioekonomi negara.

“Perabot kayu, papan lapis dan kayu bergergaji adalah antara tiga produk terbesar yang menyumbang kepada nilai eksport perkayuan negara dengan nilai eksport masing-masing RM8.1 bilion, RM4.6 bilion dan RM3.9 bilion.

“Industri kayu-kayan negara antara salah satu penyumbang utama kepada nilai eksport komoditi negara,” katanya.

Malah, pihaknya turut komited dalam proses pembuatan bangunan kayu berasaskan gabungan pelbagai jenis kayu menerusi proses perekatan atau Glued Laminated Timber (glulam) di Malaysia.

PENGARAH Urusan BJA Anum Nazahah bersama bapanya, Ahmad Mazlan Othman menghasilkan pelbagai produk daripada buluh.
PENGARAH Urusan BJA Anum Nazahah bersama bapanya, Ahmad Mazlan Othman menghasilkan pelbagai produk daripada buluh.

“Pembinaannya bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai berkenaan penggunaan kayu dan papan dalam pembinaan bangunan atau perabot serta kualiti setiap barangan dihasilkan.

“Produk glulam masih kurang dikomersialkan di Malaysia menyebabkan MTIB mengambil langkah drastik mempromosikannya dengan membina bangunan ikonik pertama di Johor Bahru yang mengaplikasikan glulam daripada kayu keras Malaysia,” katanya.

Selain itu, katanya, nilai penggunaan kayu dalam pasaran domestik adalah sebanyak RM19 bilion pada 2017 merangkumi penggunaan struktur dan bukan struktur berbanding keseluruhan bahan pembinaan yang digunakan berjumlah RM166 bilion.

Beliau berkata, nilai eksport produk kayu-kayan Malaysia pada 2017 mencatatkan peningkatan lima peratus kepada RM23.2 bilion berbanding 2016 iaitu sumbangan 2.5 peratus daripada keseluruhan eksport barangan Malaysia yang berjumlah RM935.4 bilion pada 2017.

PEMILIK Idea Craff & Wood, Azizul Ahmad menghasilkan pelbagai jenis kraftangan berasaskan kayu.
PEMILIK Idea Craff & Wood, Azizul Ahmad menghasilkan pelbagai jenis kraftangan berasaskan kayu.

“Kebanyakan produk kayu-kayan turut mencatatkan peningkatan dari segi nilai eksport kecuali bagi produk seperti kayu balak, perabot rotan dan venir mencatatkan penurunan dengan peratusan perubahan 12.45 peratus, 60.7 peratus dan 7.6 peratus.

“Pertumbuhan nilai eksport terbesar yang direkodkan adalah kayu gergaji iaitu 14.8 peratus kepada RM3.9 bilion diikuti papan gentian sebanyak 9.4 peratus kepada RM437 juta dan perabot kayu sebanyak 6.6 peratus kepada RM8.1 bilion.

“Pasaran utama eksport kayu dan produk kayu Malaysia adalah Jepun RM3.9 bilion (19 peratus), diikuti Amerika Syarikat RM3.7 bilion (16 peratus), Kesatuan Eropah (EU) RM2.2 bilion (10 peratus) manakala India RM1.6 bilion (tujuh peratus),” katanya.

PEMILIK The One Gaharu Sdn Bhd, Ramli Harun menunjukkan kayu gaharu dan pati minyak wangi.
PEMILIK The One Gaharu Sdn Bhd, Ramli Harun menunjukkan kayu gaharu dan pati minyak wangi.

Objektif program

• Berkongsi maklumat berhubung kemajuan dan prestasi kepelbagaian produk kayu-kayan.

• Meningkatkan kepekaan terhadap kemajuan yang dicapai dan sumbangan kepada sosioekonomi negara.

• Memberi pendedahan secara langsung berhubung fungsi dan peranan MTIB dalam membangunkan industri kayu kayan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 12:01 PM