Wong Xin Zet (kiri) bersama adik kembarnya, Wong Xin Shin,  menyemak nota sebelum masuk ke dewan peperiksaan bagi menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini, Skudai, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Wong Xin Zet (kiri) bersama adik kembarnya, Wong Xin Shin, menyemak nota sebelum masuk ke dewan peperiksaan bagi menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini, Skudai, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 50,004 calon menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di 284 pusat peperiksaan di seluruh Johor.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor Shaharudin Sharif berkata, jumlah itu menyaksikan Pasir Gudang dengan calon terbanyak iaitu 9,782 orang diikuti Johor Bahru (9,357) dan Batu Pahat (6,169).

Beliau berkata, seramai sembilan calon terdiri daripada calon tahanan yang sedang menjalani sesi pemulihan akhlak termasuk di Pusat Pemulihan Akhlak Perak, Pulau Pinang dan Perlis turut mengambil peperiksaan terbabit.

“Kita juga mempunyai seorang calon Sekolah Dalam Hospital yang menduduki PT3 di Hospital Sultanah Fatimah, Muar.

“Terdapat 23 pusat menggunakan Kurikulum Bersepadu Dini dan satu pusat menggunakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Harian Metro sempat meninjau ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini, Skudai yang juga antara sekolah dengan jumlah calon PT3 teramai di Johor Bahru iaitu 400 orang.

Menurut Pengetuanya Subaidah Paidi, sekolah berkenaan mempunyai 174 calon Melayu, 131 Cina, 86 India dan sembilan calon lain-lain.

Pada masa sama, pasangan kembar seiras, Wong Xin Zet, 15, dan adiknya, Wong Xin Shin, 15, pelajar Tingkatan 3 REK 1, SMK Mutiara Rini berkongsi rasa gementar sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Xin Zet berkata, mereka tiba seawal 7 pagi di sekolah bagi melakukan sedikit persediaan termasuk menyemak nota sebelum memulakan kertas Bahasa Melayu dan Matematik, hari ini.

Menurutnya, dia dan adiknya lebih gemar belajar berasingan kerana tidak mahu terganggu apabila melihat persiapan dilakukan masing-masing.

“Walaupun kami berada dalam kelas yang sama tetapi dari awal kami memang dipisahkan tempat duduk dalam kelas dan lebih gemar belajar bersendiri.

“Bagaimanapun saya akan bantu adik kalau dia ada masalah dalam pelajaran. Walaupun saya selalu mendapat markah yang lebih tinggi dari adik, ibu bapa dan guru tidak pernah membanding-bandingkan kami,” katanya yang turut mengambil kelas tuisyen bersama adiknya selepas tamat sesi persekolahan.

Xin Zet berkata, dia meletakkan sasaran 5A daripada enam kertas didudukinya bagi PT3 tahun ini kerana menganggap kertas peperiksaan Bahasa Cina kebiasaannya agak sukar.

Bagi Xin Shin pula, dia tidak meletak harapan yang terlalu tinggi tetapi hanya mahu lakukan yang terbaik atau berusaha sekiranya boleh menandingi keputusan kakak kembarnya.

Sebelum masuk ke dewan peperiksaan, semua 400 calon PT3 di sekolah berkenaan membaca doa, melafazkan ikrar bagi melakukan yang terbaik dalam peperiksaan berkenaan serta bersalaman dengan pengetua dan guru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:04 AM