DONGDONG menunjukkan kostum lembu dipakainya.
DONGDONG menunjukkan kostum lembu dipakainya.
DONGDONG sanggup menjadi lembu untuk mengutip wang bagi rawatan ayah.
DONGDONG sanggup menjadi lembu untuk mengutip wang bagi rawatan ayah.
Agensi

Beijing: Seorang budak perempuan di wilayah Anhui memakai baju lembu setiap hari dan mengenakan bayaran 5 yuan (RM4) untuk ditunggang semata-mata mahu membiayai kos perubatan ayahnya yang menghidap penyakit tulang belakang.

Tidak seperti remaja perempuan seusianya yang bakal berdepan peperiksaan gaokao untuk kolej, Hao Dongdong, 15, mengemis di jalanan setiap hari untuk membantu rawatan penyakit spondilitis kejur yang menyebabkan ligamen pada tulang belakang bapanya menjadi keras.

Bapanya Hao Xinli sebelum ini petani yang berpindah ke Hefei pada 2000 untuk berniaga kerana tidak mampu melakukan kerja ladang. Dia kemudian mengahwini isterinya, Li Xiuru.

Penyakitnya menjadi lebih teruk selepas terbabit dalam pergaduhan kecil apabila dia ditolak menyebabkan belakangnya terlalu sakit dan tidak dapat bergerak.

Pemeriksaan doktor mendapati tulang belakang dan lehernya retak akibat kejadian itu yang menyebabkan kelumpuhan badannya.

Dia tidak mendapat sebarang ganti rugi bagi kejadian itu kerana polis gagal mengenal pasti siapa yang bersalah. Sehubungan itu, keluarganya terpaksa membayar sendiri kos pembedahan dan rawatannya sehingga kini.

Katanya, isterinya meninggalkannya tidak lama selepas itu.

“Saya faham kenapa dia pergi. Keadaan saya memang tiada harapan dan terlalu perit untuk Li apatah lagi dia tiada keluarga di Hefei,” kata Xinli.

Disebabkan itu Dongdong dan adik-beradiknya terpaksa keluar mencari rezeki.

Dongdong berkata, dia sering dicaci apabila orang ramai menganggapnya penipu, malah pernah ditampar lelaki mabuk yang menyangka Dongdong cuba menipunya.

Peniaga tempatan juga tidak menyenangi kehadirannya kerana menganggap dia mengganggu perniagaan mereka.

Namun, Dongdong tetap berusaha dan mampu meraih sehingga 400 yuan (RM280) sehari.

Xinli berkata, dia berharap dapat berdiri semula satu hari nanti dan tidak lagi membebankan keluarganya.

Dia juga berharap Dongdong dapat kembali ke sekolah dan sekali lagi menjalani kehidupan normal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 6:41 AM