FOTO hiasan
FOTO hiasan
Siti A’isyah Sukaimi


JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) perlu menjalankan siasatan jika didapati benar dakwaan beberapa kertas soalan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) terdiri daripada beberapa mata pelajaran diperoleh awal oleh calon.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya berkata, memandangkan kertas soalan PT3 adalah dokumen terperingkat terhad, individu atau kumpulan yang terbabit dalam penyebaran kertas soalan boleh diambil tindakan.

“Sehubungan itu, KPM menyarankan orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan mendapatkan maklumat rasmi daripada KPM,” katanya, hari ini.

Kenyataan itu susulan terdapat dakwaan menyatakan beberapa kertas soalan PT3 terdiri daripada beberapa mata pelajaran sudah diperoleh awal oleh calon.

Pada masa sama, kenyataan itu menjelaskan, berdasarkan prosedur operasi standard PT3, tanggungjawab memuat turun dan mencetak kertas soalan adalah tanggungjawab Pengetua, Penolong Kanan Pentadbiran dan Setiausaha PT3 di sekolah masing-masing.

“Dalam hal ini, personel yang sudah menandatangani Akta Rahsia Rasmi 1972, wajib mematuhi setiap prosedur penjaminan kualiti termasuk memastikan keselamatan kertas soalan.

“Perlu diambil maklum, pengendalian PT3 sama seperti pengendalian peperiksaan akhir tahun sekolah. Kertas Soalan PT3 adalah dokumen terperingkat terhad.

“Jadi semua personel pentadbiran dan pentaksiran adalah bertanggungjawab terhadap kerahsiaan dan keselamatan kertas soalan PT3. Sewajarnya kertas soalan dan panduan penskoran PT3 hendaklah disimpan di bilik berkunci di dalam almari besi berkunci di sekolah,” katanya.

Ia bagi memastikan kerahsiaan dan keselamatan kertas soalan, pergerakan kertas soalan dan panduan penskoran mesti direkodkan.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, PT3 adalah komponen Pentaksiran Pusat (PP) di peringkat menengah rendah yang dilaksanakan secara perkongsian akauntabiliti antara Lembaga Peperiksaan (LP) dan pihak sekolah.

Katanya, LP berperanan sebagai penyedia kertas soalan dan menetapkan format pelaporan manakala peranan sekolah adalah mentadbir PT3 merangkumi penerimaan kertas soalan daripada LP, mencetak, melaksanakan pentaksiran, memeriksa kertas jawapan, mencetak dan mengeluarkan pelaporan serta melaksanakan penjaminan kualiti seperti terkandung dalam Buku Panduan Pengurusan dan Pentadbiran Pentaksiran Tingkatan 3 2019.

Selain itu, katanya, pengendalian PT3 di sekolah sama seperti pengendalian peperiksaan akhir tahun sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 8:31 PM