(Gambar kiri) Anggota AADK menjalankan ujian saringan air kencing manakala (gambar kanan) antara warga asing yang ditahan untuk pemeriksaan. FOTO Razif Rosli
(Gambar kiri) Anggota AADK menjalankan ujian saringan air kencing manakala (gambar kanan) antara warga asing yang ditahan untuk pemeriksaan. FOTO Razif Rosli
Razif Rosli


SEBANYAK 190 saman di atas pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada kenderaan perdagangan seperti bas dan lori dalam Operasi Bersepadu Perdagangan di Kilometer 290, Kawasan Rehat Pusat Tranformasi Luar Bandar, Gopeng, hari ini.

Operasi dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat, Jabatan Imigresen dan PLUS Malaysia Berhad.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak Asisten Superintendan Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, operasi selama empat jam itu dijalankan bagi mengesan pelbagai kesalahan undang-undang.

Beliau berkata, seramai 20 warga asing turut ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan serta melanggar peraturan imigresen.

“Kesemua warga asing yang ditahan adalah warga Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Pakistan, Thailand dan Myanmar yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan 39(b) peraturan yang sama.

"Mereka yang ditahan didapati gagal mematuhi syarat pas, tinggal di negara ini tanpa permit sah, tiada dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih tempoh.

“Mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita sebaik operasi tamat.

Katanya, AADK menahan tiga pemandu lori berusia 40 hingga 45 tahun yang didapati positif dadah.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Rawatan dan Pemulihan 1983 dan direman selama 14 hari untuk dokumentasi dan siasatan lanjut oleh AADK," katanya.

Mohd Ariffridzuan berkata, operasi membabitkan seramai 74 anggota termasuk pegawai itu memeriksa 145 kenderaan.

"Kita adakan operasi bersepadu ini bagi mendidik pengguna jalan raya khususnya membabitkan kenderaan perdagangan bagi mematuhi peraturan lalu lintas.

"Ada antara mereka menggunakan tayar celup dan sudah haus hingga mampu mengundang nahas yang berpunca daripada serpihan tayar kenderaan pecah serta bertaburan di lebuh raya termasuk yang membawa lebih muatan," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengeluarkan saman kepada seorang pemandu yang mempunyai waran kerana kesalahan memandu laju.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 6:02 PM