CHE Hasni memeriksa tayar lori ditahan dalam Operasi Halangan di Hentian Sebelah Rawang, semalam.
CHE Hasni memeriksa tayar lori ditahan dalam Operasi Halangan di Hentian Sebelah Rawang, semalam.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Rawang: Seorang pemandu lori berusia 30-an yang mempunyai lapan saman trafik dan tiga waran tangkap ditahan dalam Operasi Halangan di Hentian Sebelah Rawang di sini, malam semalam.

Pemeriksaan mendapati lori itu menggunakan tayar celup yang sudah haus dan pecah selain muatan berlebihan.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya mendapati pemandu terbabit tidak mengikat muatan besi dan kayu sebaliknya hanya meletakkannya di bawah lori.

“Pemandu itu diberi notis membawa muatan secara berbahaya, muatan yang tidak dibenarkan, tayar haus dan notis arah timbang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Menurut beliau, pada operasi itu, pihaknya merekodkan 112 kesalahan mengikut Akta SPAD dan JPJ.

“Antara kesalahan dilakukan ialah membawa barangan secara berbahaya, tayar haus selain tayar pecah namun masih digunakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Hasni berkata, laporan pemeriksaan Kod Amalan, Keselamatan dan Kesihatan (iCOP SHE) pengusaha bas kilang yang terbabit nahas di Kilometer 147, Lebuhraya Utara-Selatan sebelum tol Juru arah utara, kelmarin dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Katanya, pasukan pemeriksa sudah membuat pemeriksaan iCOP SHE syarikat bas kilang terbabit, kelmarin.

“Sekiranya syarikat terbabit tidak memenuhi syarat ditetapkan, permit mereka akan digantung atau boleh dibatalkan.

“Kita jangka keputusan akan diketahui esok (Jumaat) atau lusa (Sabtu) kerana ia mengambil masa antara dua ke tiga hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 4:11 AM