Isteri Mustafa, Norhayati Md Din (tengah) membersihkan rumah selepas banjir kilat di Kampung Padang Cik Mas. FOTO Safuri Kamarudin
Isteri Mustafa, Norhayati Md Din (tengah) membersihkan rumah selepas banjir kilat di Kampung Padang Cik Mas. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

Foto Safuri Kamarudin

“œSEPANJANG 30 tahun tinggal di sini, inilah kali pertama rumah saya dinaiki air kerana sebelum ini tidak pernah dilanda banjir kilat sehingga barangan rumah rosak,” kata Mustafa Saad, 58, dari Kampung Padang Cik Mas, Pulai, Baling.

Dia antara 28 keluarga membabitkan 140 penduduk di empat kampung di sini yang dinaiki air setinggi 0.5 meter selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat bermula 5 petang semalam.

Antara kampung dilanda banjir ialah Kampung Jalan Lama Batu 42, Padang Cik Mas, Rambong Pulai dan Jenalik.

Mustafa berkata, kejadian itu memang tidak dijangka kerana sebelum ini walaupun hujan lebat, rumahnya tidak pernah dilanda banjir kilat.

“Ketika kejadian, saya bersama keluarga makan malam sebelum terkejut melihat air masuk ke dalam rumah.

“€œIa berlaku terlalu pantas menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu mungkin berpunca dari air bukit yang turun dengan banyak menyebabkan sistem perparitan tidak dapat menampung sehingga melimpah ke rumah.

Mohd Sharif Zakaria, 48, pula berkata, dia yang sedang berehat sementara menunggu solat Maghrib terkejut apabila tiba-tiba air masuk ke dalam rumah.

"Semua barangan seperti tikar dan perabot tidak dapat diselamatkan.

"Saya turut mengejutkan anak yang tertidur di bilik kerana bimbang kejadian buruk berlaku tambahan kedudukan rumah saya di kawasan rendah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling Datuk Md Shuhaime Abd Rahman berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan penempatan penduduk di kawasan rendah mudah dinaiki air.

Bantuan peringkat awal pula sudah dihantar kepada semua mangsa.

"Saya mengarahkan bantuan segera barangan makanan disalurkan kepada mangsa terjejas dengan banjir ini. Bagaimanapun, tiada pemindahan kerana air surut lewat tengah malam tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 2:05 PM