Safuri Kamarudin


Baling: Bukan sekali, tetapi dua kali rumah dinaiki air dalam tempoh tidak sampai dua jam.

Itu yang dihadapi ibu tunggal, Rahmah Abdul Rahman, 74, dari Kampung Padang Che Mas, Pulai, apabila rumahnya dinaiki air setinggi kira-kira 0.4 meter.

Katanya, air dari bukit melimpah masuk ke dalam rumahnya malam tadi, susulan hujan lebat berterusan yang lebih lima jam sejak jam 5 petang semalam.

Menurutnya, banjir mula melanda rumahnya bermula 8 malam sebelum surut sedikit, namun arus kedua melanda pada 10 malam menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan perkakas.

"Hujan lebat berterusan menyebabkan rumah saya dinaiki air yang turun dari arah bukit berdekatan selain berlaku limpahan air parit berdekatan.

"Pada mulanya air masuk jam 8 malam dan surut dengan anak sempat datang membantu membersih rumah, selang dua jam kemudian air masuk kali kedua sehingga pagi ini," katanya, hari ini.

DUA rakan Zaila Zaini dan Damia Qhaisara sedang meredah banjir yang melanda rumah mereka di Kampung Haji Abas. FOTO Safuri Kamarudin
DUA rakan Zaila Zaini dan Damia Qhaisara sedang meredah banjir yang melanda rumah mereka di Kampung Haji Abas. FOTO Safuri Kamarudin

Rahmah berkata, pada bulan lalu, banjir setinggi kira-kira 0.5 meter turut melanda rumahnya menyebabkan hampir semua perabot rumah rosak.

"Letih membersih rumah kerana banjir bulan lalu belum habis dan hari ini saya terpaksa berhadapan selut yang memenuhi ruang rumah sekali lagi.

"Selain itu, saya turut menanggung kerugian yang banyak apabila hampir semua peralatan seperti televisyen, mesin basuh dan kipas kaki tidak lagi boleh digunakan," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian banjir kilat malam tadi, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantung dan SK Bandar, Siong.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, sebanyak tiga mukim dilanda banjir membabitkan 225 keluarga di Mukim Pulai, Baling/Bongor dan Siong.

Antara kampung terbabit adalah Kampung Padang Che Mas, Tok Weng, Temusu, Dalam Wang, Pokok Sena, Sungai Limau, Banggol Sedang, Carok Sikin, Charok Bemban, Carok Kelian dan Kampung Padang.

Turut terjejas Kampung Lubuk Pedati, Kampung Siput dan Kampung Bandar.

Tinjauan pagi ini mendapati arus Sungai Ketil masih deras dan masih ada rumah penduduk di tepi sungai ditakungi air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 10:59 AM