RAJA  Mohamed Affandi  (kanan)  pada Majlis ATM Meraikan Anggota Cedera Sempena Hari Ulang Tahun ATM ke-84 di Pangkalan Udara Butterworth,  semalam.
RAJA Mohamed Affandi (kanan) pada Majlis ATM Meraikan Anggota Cedera Sempena Hari Ulang Tahun ATM ke-84 di Pangkalan Udara Butterworth, semalam.
Shamsul Munir Safini


Butterworth: Meningkatkan kesejahteraan serta keselesaan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara diharapkan diberikan keutamaan kerajaan pada sesi pembentangan Bajet 2018, 27 Oktober ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamad Noor berkata, perkara itu kini sebahagian daripada fokus utama ATM dalam usaha memberi keselesaan kepada anggota tentera sama ada masih berkhidmat atau bersara termasuk veteran tentera.

Beliau berkata, sebahagian projek perumahan kepada anggota tentera dijalankan dan beberapa projek tambahan dikaji serta dirancang.

“Sebelum ini, Kementerian Pertahanan merancang membina lebih 5,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) untuk anggota dan veteran ATM di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) dan kementerian serta ATM kini mengenal pasti beberapa lokasi bersesuaian untuk melaksanakan pembinaan rumah berkenaan.

“Ia juga hasrat kami harapkan mendapat perhatian kerajaan pada sesi pembentangan Bajet 2018 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meraikan 83 anggota tentera yang cedera ketika melaksanakan operasi ketenteraan atau latihan berisiko tinggi pada Majlis ATM Meraikan Anggota Cedera Sempena Hari Ulang Tahun ATM ke-84 di Pangkalan Udara Butterworth, di sini, semalam.

Rabu lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan kementeriannya merancang membina lebih banyak Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), RMM dan melaksanakan inisiatif Rumah Mampu Sewa (RMS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 8:28 AM