GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


TIGA panglima perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum pembentangan Bajet 2018 bagi membincangkan keperluan dalam setiap cabang perkhidmatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan perbincangan itu perlu bagi mengenal pasti aset penting diperlukan tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang pastinya berbeza.

Katanya, ini kerana dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, bukan semua keperluan akan dapat dipenuhi.

"Pertemuan ini nanti bagi membolehkan keperluan khusus dapat ditentukan.

"Kena fahami untuk mendapatkan aset dan peruntukan bukanlah satu hak (tidak semua boleh dipenuhi)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Nadwah Ilmiah Pegawai-Pegawai Kanan (NAIM) 2017 dan Pelancaran Indeks Syariah Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

HISHAMMUDDIN (kanan) ketika majlis perasmian NAIM 2017 dan pelancaran Indeks Syariah. Turut hadir, Jamil Khir (depan, tengah) serta Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kiri). FOTO Yazit Razali
HISHAMMUDDIN (kanan) ketika majlis perasmian NAIM 2017 dan pelancaran Indeks Syariah. Turut hadir, Jamil Khir (depan, tengah) serta Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kiri). FOTO Yazit Razali

Menurut Hishamuddin, jumlah peruntukan pertahanan untuk Bajet 2018 hadapan tidaklah besar dan tidak keterlaluan serta sudah dibentangkan kepada Kementerian Kewangan.

"Kita sudah panjangkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan apa yang kita perlukan dan ianya tidaklah keterlaluan.

"Saya percaya apa yang tidak sempat diumumkan Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2018 nanti akan dapat dilaksanakan di peringkat kementerian nanti.

"Antara agenda ini membabitkan aspek kesihatan dan perubatan, agenda pendidikan anak-anak veteran serta anggota ATM, kos sara hidup dan perumahan.

"Itu semua akan menyusul selepas pembentangan bajet nanti yang akan menunjukkan hala tuju Kementerian Pertahanan bersandarkan lima teras iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta," katanya.

Tahun lalu, RM15.1 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan dalam pembentangan Bajet 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 8:10 PM