DARI kiri,  Zairul Annuar,  Shahrulnezam dan Samir  menunjukkan dokumen yang ditandatangani.
DARI kiri, Zairul Annuar, Shahrulnezam dan Samir menunjukkan dokumen yang ditandatangani.
HM Digital

Kuala Lumpur: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pengelola acara Asfar Kingdom, Arab Saudi serta Pameran dan Konvensyen Fursan bagi mempromosi dan meningkatkan perjalanan umrah ke Arab Saudi.

MoU berkenaan antara lain membolehkan ketiga-tiga pihak bekerjasama melalui rangkaian, pemasaran dan aktiviti promosi antara ejen pelancongan di kedua-dua negara terbabit.

Naib Presiden Umrah dan Haji MATTA, Shahrulnezam Mohd Daud berkata, elemen utama memorandum itu adalah untuk menganjurkan sesi umrah perniagaan ke perniagaan (B2B) pertama yang dijadualkan berlangsung pada 2 Julai 2018 di Kuala Lumpur.

“Seramai sejuta jemaah yang melaksanakan umrah dan haji pada setiap tahun di rantau ini dan kami mengambil peluang membentuk perjalanan umrah dan memudahkan perniagaan operator pelancongan Bumiputera apabila bertemu dengan rakan dari Arab Saudi,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Asfar Kingdom, Samir Abdul Fatani dan Pengerusi Pameran dan Konvensyen Fursan, Zairul Annuar Mohd Zin.

Beliau berkata, kerjasama positif antara semua pihak dilihat memainkan peranan penting dalam meningkatkan perjalanan umrah ke tahap lebih tinggi, menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada ahli bagi bertukar idea, membina rangkaian perkongsian dan mengembangkan perniagaan mereka di pasaran.

“Melalui kerjasama ini, kami dapat meningkatkan tahap kerjasama antara MATTA, Asfar Kingdom, Arab Saudi serta Pameran dan Konvensyen Fursan di samping memanfaatkan kepakaran dan pengetahuan teknikal masing-masing bagi meluaskan dan meningkatkan pertumbuhan industri pelancongan dan pengembaraan di kedua-dua negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 9:52 AM