Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Haslina Abdul Hamid (tengah) bersama wakil pelancongan yang menyertai B2B Umrah dan Percutian Muslim 2018, semalam.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Haslina Abdul Hamid (tengah) bersama wakil pelancongan yang menyertai B2B Umrah dan Percutian Muslim 2018, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yakin langkah memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya memberi kesan kecil ke atas industri pelancongan domestik.

Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata, pengenalan SST dijangka memberi lebih banyak pendapatan boleh guna bagi pengembara dalam negara berbanding luar negara.

“Kami melihat hanya kesan minimum akan ditanggung sektor pelancongan dalam negara memandangkan cukai yang akan dilaksanakan semula itu tidak seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang meliputi semua peringkat perniagaan.

“Jadi, MATTA optimis ia membantu meningkatkan sektor pelancongan domestik,” katanya selepas majlis perasmian B2B Umrah dan Percutian Muslim 2018 anjuran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di sini, semalam.

SST akan dilaksanakan mulai 1 September depan bagi menggantikan GST yang diperkenalkan pada 1 April 2015.

Tan berkata, bagi tempoh sifar GST bermula 1 Jun lalu, ia mewujudkan aliran tunai yang lebih baik dan mengurangkan kos pentadbiran dalam kalangan ahi MATTA.

Bagaimanapun, katanya, cukai yang dimansuhkan itu tidak akan memberi kesan kepada penggunaan luar kerana ia membabitkan pelancongan domestik saja.

“Tempoh kadar sifar GST juga memberi peluang kepada pengembara mempunyai lebihan simpanan untuk dibelanjakan.

“Perkara ini memberi galakan kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik negara,” katanya.

MATTA adalah organisasi bukan kerajaan terbesar dengan 3,300 anggota terdiri ejen pelancongan dan pengembaraan tempatan serta gabungan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 2:13 PM