POLIS mengawal berhampiran Hotel Mandalay selepas lebih 50 maut dalam serangan tembakan. FOTO AFP
POLIS mengawal berhampiran Hotel Mandalay selepas lebih 50 maut dalam serangan tembakan. FOTO AFP
BERNAMA

TIADA rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kejadian serangan tembakan di konsert muzik di Las Vegas, Amerika Syarikat di mana lebih 50 orang dilaporkan maut dan beratus lagi cedera, malam Ahad lalu.

Jurucakap Wisma Putra berkata, pihaknya telah menghubungi Kedutaan Malaysia di AS bagi mengesahkan maklumat itu termasuk untuk mendapatkan perkembangan lanjut insiden berkenaan.

“Setakat ini tiada orang Malaysia yang terbabit,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Berdasarkan laporan terkini media AS, sekurang-kurangnya 50 orang maut akibat terkena tembakan dan lebih 200 orang lagi cedera selepas lelaki berumur 64 tahun melepaskan tembakan ke arah ribuan pengunjung konsert muzik terbuka di luar Hotel Mandalay Bay, Las Vegas.

Jurucakap polis Joe Lombardo pada sidang akhbar berkata, suspek utama menggunakan senapang automatik dan melepaskan tembakan dari tingkat 32 hotel berkenaan ke arah pengunjung.

Media tempatan melaporkan kejadian berlaku pada 11.30 malam Ahad lalu yang menyaksikan ratusan das tembakan dilepaskan oleh penyerang tunggal itu.

Berita berkaitan:

Maut ditembak dari aras 32

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 1:58 AM