BRUNO terus bertenaga menyanyi tanpa henti selama satu jam.
BRUNO terus bertenaga menyanyi tanpa henti selama satu jam.
Syanty Octavia Amry


Tiada apa yang boleh dikatakan melainkan rasa gembira dan teruja apabila artis kesayangan beraksi di hadapan mata.

Menyaksikan persembahan bertenaga penyanyi terkenal antarabangsa, Bruno Mars menyimpul 1,001 kenangan manis buat 25 pemenang yang hadir bersama pasangan masing-masing.

Diterbangkan oleh Yonder Music Malaysia pada 29 Disember lalu, kesemuanya tidak sabar menanti kemunculan penyanyi kelahiran Honolulu, Hawaii itu di pentas terkemuka di dewan The Chelsea, Hotel The Cosmopolitan, Las Vegas.

Mereka berpelung menonton konsert itu selepas memenangi peraduan memuat turun lagu menerusi aplikasi Yonder dengan syarat perlu ada karya dendangan Bruno.

Yonder adalah sebuah aplikasi perkhidmatan muzik digital yang baru diperkenalkan di Malaysia sejak pertengahan tahun lalu dan bekerjasama dengan Celcom.

Membuka tirai persembahan dengan lagu I Wanna Be A Billionaire, Bruno yang muncul di pentas jam 11.30 malam mendapat tepukan dan sorakan yang meriah daripada penonton.

Hampir 3,000 pengikut setianya memenuhi setiap sudut dewan dan turut menari bersama.

Sejam menghiburkan penonton, tepat jam 12 tengah malam percikan confetti bertebaran di segenap ruang di samping Bruno mengucapkan selamat tahun baru dan disambut dengan sorakan.

Meskipun tidak puas mendengar suara merdu Bruno, penonton terhibur dengan himpunan lagu yang dipersembahkan.

Antaranya lagu Marry You, Just The Way You Are serta lagu terbaru, Uptown Funk yang dipersembahkan secara langsung buat julung kalinya.

Berkongsi pengalaman pertama kali menyaksikan konsert Bruno, pemenang Yonder Music Malaysia, Mohd Faizal Mohd Nasir berkata, dia tidak menduga hobi suka memuat turun lagu dan menggunakan aplikasi Yonder memberi peluang kepadanya menonton persembahan penyanyi hebat itu di Las Vegas.

“Ketika asyik mendengar lagu yang dimuat naik, saya terkejut nama saya terpilih sebagai pemenang.

“Umpama bulan jatuh ke riba, peluang menyaksikan konsert Bruno adalah hadiah tahun baru paling indah buat saya. Ia pengalaman yang tidak pernah terlintas di fikiran,” katanya.

Mahira Abd Manap pula menyifatkan terpilih menyertai rombongan menonton konsert Bruno bagaikan mimpi jadi kenyataan.

“Apabila dapat tahu saya antara salah seorang pemenang, rasa tak percaya. Syukur dengan kemenangan ini.

“Selain dapat bertemu Bruno saya juga berpeluang berjalan-jalan di Las Vegas. Terima kasih kepada Yonder Music kerana merealisasikan impian saya,” katanya.

Bagi Sarah Nabilah Shafiie pula, dirinya sangat bertuah kerana terpilih daripada ribuan peserta peraduan itu.

“Gembira dapat menyaksikan persembahan Bruno di Las Vegas. Dia penyanyi yang hebat dan bijak berinteraksi dengan peminat.

“Saya dapat merasai pe–ngalaman menyambut tahun baru di Las Vegas dan pastinya ia kenangan paling indah dalam hidup saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:00 AM