MESEJ yang tular di WhatsApp.
MESEJ yang tular di WhatsApp.
Ibrahim Isa


PENGAWAL keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Perumahan Tampoi 2, Johor Bahru, terkilan dengan tindakan lelaki mendakwa berlaku cubaan menculik anaknya seperti yang tular di media sosial sejak semalam kerana ia tidak pernah berlaku.

Ausha Mohd Daud, 39, berkata, ketika kejadian dia menemani murid lelaki berusia 11 tahun dan adik perempuannya berusia 10 tahun di dalam pagar sekolah berkenaan.

"Saya sebenarnya tidak mahu menceritakan hal sebenar, bagaimanapun disebabkan kejadian ini tidak benar dan memberi kesan kepada saya serta sekolah, saya terpanggil untuk menceritakan apa yang berlaku.

"Saya tidak berniat mengaibkan sesiapa, namun perlu menceritakan hal sebenar kerana apa yang ditularkan oleh lelaki yang mendakwa bapa kanak-kanak itu tidak pernah berlaku.

"Ketika kejadian pada 2.30 petang, saya masih menemani dua kanak-kanak itu di dalam pagar sekolah dengan jarak kurang satu meter," katanya.

Menurutnya, selepas menunggu dan ibu bapa mereka masib belum tiba, dia mengajak dua beradik berkenaan pergi ke pondok pengawal keselamatan dengan jarak kurang 10 meter dari tempat menunggu.

"Secara kebetulan, ada kereta yang berhenti di luar pagar dan saya bertanya kepada mereka sama ada mengenali pemandu itu. Mereka menjawab tidak kenal dan kami terus beredar ke pondok pengawal.

"Ketika kejadian, jarak saya hanya kira-kira satu meter dari dua kanak-kanak itu serta kereta berkenaan dan saya tidak nampak atau dengar pemandu membuka cermin dan berbual dengan dua beradik itu.

"Selain itu, tindakan pemandu berhenti seketika bukanlah perkara pelik kerana kedudukan sekolah di jalan utama. Ada masanya pemandu ingin mengangkat telefon atau membuat pusingan U," katanya.

Menurutnya, bapa kanak-kanak berkenaan tiba di sekolah dan mengambil dua beradik berkenaan kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, dia terkejut apabila mengetahui satu status di Facebook serta WhatsApp mengenai kejadian cubaan culik di sekolah itu sehingga menerima panggilan telefon daripada pegawai polis.

"Saya terkejut membaca status itu kerana apa yang diceritakan tidak pernah berlaku, sedang saya ada di tempat kejadian.

"Dakwaannya pengurusan sekolah seolah-olah ingin menutup kejadian itu juga tidak benar. Saya benar-benar sedih hingga tidak boleh tidur. Selama ini dua beradik itu sering pulang lewat dan saya menjaga mereka sehingga 3.30 petang," katanya.

Menurutnya, ramai yang faham ibu bapa kanak-kanak itu terpaksa bekerja untuk mencari rezeki, namun mereka juga sering lewat mengambil dua beradik berkenaan selama ini.

"Pihak sekolah membuat laporan polis di Balai Polis Kempas bagi menyangkal dakwaan lelaki berkenaan kerana kejadian ditularkan itu tidak pernah berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi berkata siasatan masih dilakukan namun enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, pihaknya memandang serius dakwaan cubaan menculik dan sudah menghantar pegawai melakukan siasatan, namun terdapat perbezaan pada keterangan saksi dan laporan polis yang dibuat ibu mangsa, semalam.

"Beri kami ruang untuk jalankan siasatan dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 11:15 PM