Izlaily Nurul Ain Hussein


“SAYA sedih, tujuan utama saya berkongsi di Facebook (FB) tentang kejadian anak dipercayai cuba diculik hanyalah sebagai pengajaran bersama. Saya tidak berniat mengaibkan atau menyalahkan sesiapa,” kata Zaidil Ali, 34.

Zaidil adalah bapa kepada dua kanak-kanak berusia 11 dan 10 tahun yang mendakwa berdepan insiden cubaan culik di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Perumahan Tampoi 2 Johor Bahru, Ahad lalu.

Menurutnya, dia sekeluarga menyerahkan sepenuhnya kepada polis menjalankan siasatan dan berharap pihak berkuasa dapat merungkai kejadian sebenar untuk kepentingan semua pihak.

“Buat masa ini, saya sendiri tidak mendapat tahu hasil siasatan polis yang akan mengesahkan kejadian itu benar atau tidak, saya tidak mahu memanjangkan hal ini dan menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan.

“Saya memberikan ruang kepada polis menjalankan siasatan, namun berharap polis dapat memberikan kenyataan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menceritakan apa yang berlaku pada hari kejadian, Zaidil berkata, selepas mendapat tahu kejadian menimpa anaknya, dia kembali ke sekolah untuk mendapatkan kepastian, namun diberitahu oleh pengawal keselamatan bahawa tiada kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah itu.

Katanya, dia berkongsi insiden yang berlaku itu untuk dijadikan peringatan kepada semua ibu bapa supaya tidak lewat mengambil anak pulang dari sekolah seperti dilakukannya.

"Saya mengakui lewat ambil mereka kerana bekerja di Pasir Gudang ketika itu dan berdepan kesesakan lalu lintas. Tujuan saya kongsi kejadian itu di FB supaya ibu bapa ambil iktibar.

"Saya tidak menyalahkan pihak sekolah mahu pun pengawal keselamatan, malah saya ada beritahu dalam perkongsian itu bahawa pengawal keselamatan terbabit bertindak bertanya kepada anak-anak saya adakah mereka mengenali pemandu kereta itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan pengawal keselamatan itu yang mendakwa kejadian itu tidak berlaku tidak boleh diterimanya.

"Pada hari kejadian, pengawal keselamatan tidak keluar dari pos pengawal dan memberitahu terus kepada saya apa yang berlaku. Saya hanya mengetahui kejadian ini daripada anak-anak.

"Dia ada nombor telefon saya, kenapa dia tidak hubungi saya kalau dia rasa cerita anak-anak saya tidak betul. Sehingga kini, pihak sekolah tidak ada menghubungi saya untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Saya terkejut apabila kenyataannya disiarkan Harian Metro dan tiba-tiba orang menuduh saya membuat laporan palsu," katanya.

Semalam, akhbar ini menyiarkan kenyataan pengawal keselamatan sekolah itu, Ausha Mohd Daud, 39, yang terkilan dengan tindakan lelaki berkenaan mendakwa berlaku cubaan menculik anaknya.

Dalam pada itu Zaidil turut kecewa apabila pengawal keselamatan dan pihak sekolah menafikan berlaku kejadian cubaan culik itu di peringkat terlalu awal, sedangkan polis masih menjalankan siasatan.

"Cuma harapan saya sekiranya pihak sekolah dan pengawal keselamatan itu dapat menghubungi saya dan memberi kerjasama untuk kita sama-sama mencari jalan penyelesaian.

"Sekiranya mereka masih tidak tampil menghubungi saya, saya ada bukti menunjukkan mereka seperti mahu menutup kes ini dan saya akan tunggu hasil siasatan untuk membuat tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad memberitahu siasatan masih dijalankan pihaknya dan enggan memberi ulasan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 5:51 PM