BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati jika ternampak van putih di lokasi mencurigakan susulan kes cubaan culik kanak-kanak berumur 10 tahun di Kampung Datuk Keramat di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ada kes cubaan menculik membabitkan empat lelaki dengan dua daripadanya memakai pakaian wanita menggunakan van putih.

"Setakat ini ada satu kes cubaan culik dilaporkan oleh suspek menggunakan van putih, membabitkan cubaan culik seorang murid perempuan Sekolah Rendah Agama Al Akram, Kampung Datuk Keramat, dalam perjalanan ke sekolah," katanya.

Dalam kejadian 1.50 tengah hari Selasa lepas, kanak-kanak itu dihampiri sebuah van putih, di dalamnya ada sekumpulan empat individu, dua daripadanya lelaki yang menyamar dengan memakai pakaian wanita, keluar dari kenderaan dan cuba menarik mangsa masuk ke dalam van berkenaan.

"Seorang daripada lelaki berpakaian wanita itu mengacukan pisau ke arah kanak-kanak itu namun mangsa dilepaskan selepas meronta dan menyepak serta menumbuk muka kedua-dua lelaki itu yang kemudiannya lari dengan van berkenaan," katanya.

Kanak-kanak itu kemudian berlari masuk ke kawasan sekolah dan menceritakan kejadian kepada guru.

Beliau berkata laporan polis mengenai kejadian dibuat oleh seorang guru wanita sekolah berkenaan.

"Nombor pendaftaran van itu tidak pasti kerana tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian dan tak tahu ia pergi ke arah mana," katanya.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, guru turut membuat laporan polis ada satu lagi cubaan culik membabitkan kanak-kanak sekolah sama, pada 5 Ogos lalu, oleh dua lelaki menggunakan motosikal cuba menarik tangan seorang daripada dua beradik perempuan berumur tujuh dan 10 tahun yang sedang berjalan ke sekolah berkenaan kira-kira 1.50 tengah hari.

"Pembonceng motosikal menarik tangan kanak-kanak berumur tujuh tahun tetapi kanak-kanak berkenaan meronta dan menjerit menyebabkan lelaki berkenaan melepaskan tangannya dan melarikan diri dengan motosikal Yamaha 125.

“Kedua-dua murid perempuan itu kemudian berlari masuk ke dalam masjid Al Akram yang berdekatan dengan sekolah," katanya.

Beliau berkata setakat ini belum ada sebarang tangkapan untuk kedua-dua kes yang kini disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana penculikan dan cubaan melakukan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, pihaknya meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 10:35 PM