ISMAIL diiringi keluar dari mahkamah, semalam.
ISMAIL diiringi keluar dari mahkamah, semalam.
HM Digital

Gua Musang: Seorang pemandu treler dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan empat sekeluarga maut di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini.

Tertuduh, Ismail Mohammad Zain, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu treler Hino dengan cara merbahaya sehingga menyebabkan kematian pemandu dan penumpang kereta Proton Wira di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, jam 7.50 pagi, 29 September lalu.

Mangsa yang maut adalah empat sekeluarga iaitu Zainuddin Anuar, 30, isterinya, Raizuamira Daud, 31, serta dua anak mereka, Nur Annisa Sofea, 2, dan Zayyan Nazreel, 13 hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 November depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 9:03 AM