Rahmah (gambar kecil kanan) dan empat beranak (gambar kiri)yang maut  dalam kemalangan di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh, Gua Musang, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim dan Nik Abdullah Nik Omar
Rahmah (gambar kecil kanan) dan empat beranak (gambar kiri)yang maut dalam kemalangan di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh, Gua Musang, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim dan Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Ramli Ibrahim


"Arwah anak berpesan suruh saya simpan kelapa kerana dia mahu mengadakan kenduri akikah anak keduanya sebaik sampai di kampung. Tetapi hari ini, kami menerima pemergiannya bersama suami dan dua anak," kata Rahmah Daud, 75, ibu kepada Raizuamira Daud, 31, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh, Gua Musang, hari ini.

Kemalangan jam 7.15 pagi itu, Raizuamira menaiki kereta jenis Proton Wira bersama suami, Zainuddin Anuar, 30, dan dua anak, Nur Annisa Sofea, 2, serta Zayyan Nazreel Zainuddin berusia 13 hari maut di lokasi kejadian.

Kemalangan berlaku apabila sebuah treler muatan beras yang dipandu, Ismail Mohamad Zain, 31, dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kereta dinaiki empat beranak itu.

Rahmah berkata, anaknya itu tinggal di Sepang dan mahu berpantang di kampung selepas melahirkan anak kedua.

Katanya, anaknya ada menghubungi sebanyak dua kali pada jam 11 malam semalam, sebelum bergerak pulang ke kampung.

"Saya tidak sempat menjawab panggilan itu sebelum mengetahui anak sekeluarga maut dalam kemalangan pagi tadi.

"Kali terakhir saya bercakap dengan anak selepas dia bersalin anak kedua kira-kira 13 hari lalu. Dia memberitahu sudah selamat bersalin dan mahu pulang berpantang ke rumah pada hari Jumaat serta mahu dua ekor kambing untuk akikah bayinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Derpah, Pasir Mas, hari ini.

Menurutnya, anak bongsu daripada sembilan beradik itu sangat gembira kerana mendapat anak lelaki dan tidak sabar untuk membuat kenduri kesyukuran yang dijangka dibuat selepas dia pulang ke kampung.

Katanya, namun hasrat untuk buat kenduri kesyukuran itu tidak kesampaian.

"Saya reda dengan kejadian ini kerana dugaan daripada Ilahi untuk saya sekeluarga.

"Jenazah anak, menantu dan dua cucu akan dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Sangkut," katanya.

Berita berkaitan:

Empat beranak maut

[UPDATE]Bayi 13 hari antara terkorban

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 8:15 PM