Sebahagian orang ramai yang hadir pada ceramah Pra Fastaqim dan Solidariti Rohingya sempena Himpunan 200K Fastaqim 2.0 Hijau Menuju Kemenangan di Pantai Tok Jembal. FOTO Rozainah Zakaria
Sebahagian orang ramai yang hadir pada ceramah Pra Fastaqim dan Solidariti Rohingya sempena Himpunan 200K Fastaqim 2.0 Hijau Menuju Kemenangan di Pantai Tok Jembal. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply

TINDAKAN Pakatan Harapan memutuskan hubungan dengan PAS hanya menyebabkan gabungan parti berkenaan kerugian besar.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mempunyai kekuatan jauh lebih besar daripada gabungan parti pembangkang dengan 7,000 cawangan PAS di 195 kawasan seluruh negara dan tindakan Pakatan Harapan itu tidak merugikan PAS.

Katanya, parti itu terus meraih sokongan hebat daripada rakyat sedangkan gabungan parti pembangkang yang kini menjadi 'musuh' PAS semakin hilang pengaruh.

"Kita sangat terbuka dengan parti lain termasuk rakan Pakatan Rakyat dulu. Cuma mereka yang tidak tahu menilai kekuatan PAS.

"Mereka sepatutnya sedar PAS ada 195 kawasan di seluruh negara dan 7,000 cawangan. Mereka tidak boleh singkir PAS.

"Kalau singkir PAS mereka akan terpelanting. Bukan kita singkir mereka, (tetapi) mereka menyingkirkan diri mereka sendiri," katanya selepas menghadiri majlis makan malam bersama badan bukan kerajaan (NGO) sempena Fastaqim 2.0 di Kelab Golf Kuala Terengganu malam ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung, DatukTakiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pakatan Harapan tidak perlu takut dengan PAS sebaliknya perlu menghormati kekuatan parti itu yang boleh mengganggu gugat sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan.

Sambil menjadikan Fastaqim 2.0 yang sedang berlangsung sebagai indikator kemampuan PAS dalam meraih sokongan rakyat terhadap parti itu, beliau turut menyelar Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN), Hanipa Maidin yang menyifatkan Abdul Hadi Awang sebagai 'mengarut' apabila menggesa ahli PAS hadir ke program itu.

"Terpulang pada ahli PAS untuk menilai saya. Saya tidak perlu orang lain menilai saya.

"Ahli PAS terdiri daripada pelbagai pihak bukan sahaja orang kampung tetapi juga kalangan profesional, ulama, pensyarah dan orang bukan Islam.

"Adakah mereka semua ini ditipu? Adakah 200,000 yang hadir hari ini semua kena tipu? Terpulang kepada mereka menilai sendiri," katanya sambil mengakui Fastaqim 2.0 adalah sebahagian persediaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 12:28 AM