VIGNESWARAN ketika sidang media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
VIGNESWARAN ketika sidang media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Ahmad Suhael Adnan


MIC sedia untuk bekerjasama dengan PAS khususnya demi kelangsungan Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran, berkata langkah untuk bekerjasama dengan PAS bukan satu perkara pelik walaupun parti Islam itu dilihat tidak sehaluan dengan BN kerana Pakatan Harapan (PH) boleh menjalin kerjasama berkesan dengan musuh mereka.

“Jika demi survival BN, UMNO dan PAS mahu bergabung, terpulanglah kepada mereka.

“Berhubung pendirian MIC, saya perlu berbincang dengan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) serta MCA terlebih dahulu, namun apa yang jelas kami sedia bekerjasama dengan PAS.

“Kalau DAP boleh selesa dengan Parti Amanah Negara (AMANAH), apa bezanya (MIC) dengan PAS. PAS tak pernah musnahkan mana-mana kuil,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan secara terbuka mengajak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk kedua-dua parti itu bergabung.

Bagaimanapun, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata tindakan Ahmad Zahid mempelawa PAS untuk bergabung dengan parti itu disifatkan sebagai satu pengkhianatan terhadap BN.

Beliau berkata, Ahmad Zahid tidak menghormati parti komponen BN yang kerap kali membangkitkan bantahan terhadap pembabitan PAS secara langsung bersama gabungan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 5:46 PM