Abdul Hadi  ketika sidang media di lobi Dewan Rakyat, semalam. FOTO Yazit Razali
Abdul Hadi ketika sidang media di lobi Dewan Rakyat, semalam. FOTO Yazit Razali

Kuala Lumpur: PAS menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam perkara yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia pendekatan terbaru diambil parti Islam itu dengan menolak segala fahaman politik yang berbeza.

“Kami berjumpa menteri mengenai isu rakyat, kami perlu berjumpa tak cukup hanya di Parlimen, apatah lagi ada menteri yang tak hadir ke Parlimen.

“Kami bekerjasama dalam perkara yang baik dan tidak bekerjasama dalam perkara yang tak baik,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, seperti dilaporkan portal berita Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), semalam.

Menurutnya, keputusan terbaru itu bukan tindakan berpatah balik, namun lebih bersikap profesional dengan semua pihak demi kepentingan rakyat.

“Kami parti berpengalaman lebih jauh daripada parti lain, kami menyertai kerajaan campuran 1970-an, pada 1974 keluar balik.

“Kata kami tak akan bekerjasama dengan Barisan, tu tak betul, ” kata Ahli Parlimen Marang itu.

kita akan bekerjasama dalam perkara yang baik dan tidak akan bekerjasama yang tak baik,” kata Ahli Parlimen Marang itu.

Mengulas lanjut, kerjasama yang dikatakan itu termasuklah bersama dengan parti pembangkang lain iaitu PKR, DAP dan PAS, namun menegaskan tidak akan sesekali menyertai Pakatan Harapan.

“Kita bekerjasama dengan semua termasuk DAP, PKR dan PAS, cuma kita tak akan sertai Pakatan Harapan sebab kita tak ada harapan dengan harapan yang tak sampai destinasi, macam saya sebut tadi, nak pergi Kuantan ikut jalan ke Kuala Lipis, mana boleh sampai,” katanya.

Katanya, PAS lebih selesa mengambil langkah untuk berdiri sendiri kerana parti Islam itu mempunyai kekuatan sehingga parti lain menumpang pada kekuatannya.

“Bukan sahaja boleh bersendiri, malah dah lama kita bersendiri pun, banyak parti lain bergantung dengan parti kita, kita ada banyak cawangan, demonstrasi jalanan pun PAS tak sertai, ramai orang Islam tak hadir, kamu boleh saksikan, ini kekuatan yang ada pada kita.

“Bagi orang Islam dan bukan Islam yang nak perubahan, mereka perlu pilih PAS,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 1:33 AM