Tengku Adnan pada majlis Topping Off RUMAWIP Residensi Sky Awani, semalam.
Tengku Adnan pada majlis Topping Off RUMAWIP Residensi Sky Awani, semalam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Sebanyak 67,892 unit kediaman Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), atau 85 peratus daripada sasaran keseluruhan menjelang 2020 direalisasikan sehingga Ogos lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jumlah itu adalah daripada sasaran keseluruhan yang ditetapkan iaitu 80,000 unit.

“Semua unit merangkumi projek di bawah kategori Siap, Dalam Pembinaan dan Kelulusan Perintah Pembangunan atau Development Order. Kami yakin unit kediaman itu disiapkan menjelang 2020.

“Kementerian dan agensi dengan kerjasama pemaju swasta sentiasa berusaha mencapai sasaran membina rumah mampu milik seperti ditetapkan bagi memastikan warga kota dapat menjalani kehidupan lebih baik,” katanya pada majlis Topping Off RUMAWIP Residensi Sky Awani, di ibu negara, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

Projek Residensi SkyAwani usaha sama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pemaju, SkyWorld.

Bagi Residensi SkyAwani@Sentul fasa pertama, ia mengandungi empat bangunan kediaman setinggi 34 dan 35 tingkat.

Projek berkenaan menyediakan 1,226 unit kediaman serta 60 lot komersial dan dijangka siap Ogos tahun depan, iaitu sembilan bulan awal dari tarikh jangkaan pada Mei 2019.

Lebih menarik, projek itu juga satu-satunya RUMAWIP yang mematuhi piawaian sistem penilaian kualiti hasil kerja binaan (QLASSIC) yang diperkenalkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 4:52 AM