PEMBELI projek perumahan RUMAWIP Residensi Seri Wahyu, menunjukkan unit yang  berjaya dimiliki.
PEMBELI projek perumahan RUMAWIP Residensi Seri Wahyu, menunjukkan unit yang berjaya dimiliki.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Saya cabar pemaju hartanah swasta menggunakan tanah masing-masing di ibu negara untuk bina Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP),” tegas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, ketika ini kerajaan berdepan kekurangan tanah di ibu negara untuk membina lebih banyak rumah mampu milik dan memerlukan kerjasama pihak hartanah swasta untuk merealisasikan projek itu.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri terpaksa memohon pada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jika mahu tanah, jadi kesimpulannya kita memang tak ada tanah.

“Setakat ini, ada dua pemaju swasta berjaya menyahut cabaran saya untuk membangunkan RUMAWIP iaitu di Bukit Jalil dan di sini (Kepong),” katanya pada Majlis Pelancaran dan Sesi Cabutan Undi RUMAWIP Residensi Seri Wahyu di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan akan bantu pemaju swasta bina RUMAWIP atas tanah sendiri dengan mendapatkan nisbah plot sesuai selain mengurangkan caj pembangunan supaya rumah itu dijual di bawah harga pasaran.

“Setakat Februari lalu, kita berjaya mencapai 53,246 unit atau 67 peratus daripada sasaran keseluruhan 80,000 unit yang ditetapkan menjelang 2020.

“Residensi Seri Wahyu ini terikat dengan sekatan jualan atau moratorium selama 10 tahun bagi membendung spekulasi hartanah daripada berlaku tanpa kawalan selain menjamin kepentingan golongan sasar,” katanya.

Sebelum itu, Tengku Adnan melancarkan 660 unit Residensi Seri Wahyu iaitu projek RUMAWIP terbesar yang dibina oleh Kumpulan Mah Sing di atas tanah milik mereka sendiri.

Perumahan 35 tingkat itu dibina di atas tanah seluas kira-kira 0.6 hektar itu dengan kediaman seluas 805 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua tandas dan satu parkir berbumbung dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2020.

Setiap unit dijual pada harga RM300,000 berbanding harga pasaran, iaitu lebih RM700,000 di kawasan yang memiliki akses pengangkutan awam lengkap seperti bas, tren komuter dan Transit Aliran Massa (MRT).

Bagi eksekutif, Nor Ashrina Abd Rahim, 32, dia tidak sangka harga RUMAWIP yang ditawarkan sukar dipercayai kerana terlalu murah berbanding harga pasaran.

“Saya membuat permohonan dan kini impian memiliki rumah sendiri yang dipendam lebih lima tahun lalu tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 8:59 AM