Tengku Adnan (tiga dari kanan) melakukan gimik pelancaran pecah tanah RUMAWIP Residensi Rampai II di Taman Seri Rampai, semalam.
Tengku Adnan (tiga dari kanan) melakukan gimik pelancaran pecah tanah RUMAWIP Residensi Rampai II di Taman Seri Rampai, semalam.
Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Sebanyak 53,246 unit rumah mampu milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), dibina Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) iaitu 67 peratus daripada sasaran keseluruhan iaitu 80,000 unit.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jumlah baru itu termasuk 308 unit RUMAWIP Residensi Rampai II, Taman Seri Rampai, di sini, yang dibangunkan Jun depan dan dijangka siap menjelang 2021.

Katanya, projek Residensi Rampai II yang berkeluasan 1.25 hektar itu menawarkan dua blok kediaman pangsapuri kos sederhana 35 tingkat dan 31 tingkat RUMAWIP.

“Sebelum ini, RUMAWIP Residensi Rampai mula diduduki pembeli pada 16 November tahun lalu yang dibina dalam masa dua setengah tahun saja iaitu tujuh bulan lebih awal dari jadual.

“Atas kejayaan itu, kerajaan berharap RUMAWIP Residensi Rampai II mampu disiapkan lebih awal termasuk kemudahan yang dirancang seperti kolam renang dan parkir kereta,” katanya pada Majlis Pelancaran Pecah Tanah RUMAWIP Residensi Rampai II di Taman Seri Rampai, di sini, semalam.

Menurutnya, RUMAWIP Residensi Rampai II dibina membabitkan kerjasama pemaju, Pancaran Nilai Sdn Bhd dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dijual pada harga RM300,000 seunit.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Adnan Md Ikshan, Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, Datuk Mohd Najib Mohd dan Pengerusi CRSC Group, Datuk Seri Lawrence Low Wui Keong.

Kata Tengku Adnan, Taman Seri Rampai adalah kawasan perumahan komersial yang matang dari aspek kemudahan dan menjanjikan peningkatan nilaian hartanah yang baik kepada pembeli RUMAWIP.

“Dijangkakan nilaian sebenar kediaman RUMAWIP ini boleh mencecah harga melebihi RM400,000 seunit.

“Saya harap orang ramai mematuhi moratorium yang ditetapkan dan meskipun sudah tamat tempoh moratorium itu, simpanlah hartanah itu untuk manfaat anak cucu pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 8:22 AM