TENGKU Adnan (empat dari kanan) menghadiri Majlis Pelancaran dan Seisi Cabutan Undi RUMAWIP Residensi Rimbunan di Dewan Serbaguna, Menara Seri Wilayah di Putrajaya.
TENGKU Adnan (empat dari kanan) menghadiri Majlis Pelancaran dan Seisi Cabutan Undi RUMAWIP Residensi Rimbunan di Dewan Serbaguna, Menara Seri Wilayah di Putrajaya.
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Sebanyak 55,609 unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) sudah dibangunkan sejak ia mula dilancarkan pada 2013.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, unit berkenaan adalah keseluruhan daripada 80,000 unit RUMAWIP yang bakal disiapkan menjelang 2020.

“Pencapaian pembangunan RUMAWIP ini adalah hasil kerjasama dengan pemaju swasta yang menyahut seruan kementerian untuk memberi peluang kepada masyarakat memiliki kediaman sendiri melalui projek RUMAWIP.

“Sehingga kini, lima pemaju swasta sudah bekerjasama dengan kementerian bagi membangunkan projek perumahan itu. Kami berharap selepas ini lebih ramai lagi pemaju yang berminat dalam projek ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran dan Sesi Cabutan Undi RUMAWIP Residensi Rimbunan di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Tan Sri M Kayveas.

Adnan berkata, petunjuk digunapakai dalam pengiraan sasaran adalah dengan mengambil kira projek di bawah kategori ‘Siap’, ‘Dalam Pembinaan’ dan ‘Kelulusan Perintah Pembangunan’.

“Ketika ini, kementerian dan agensi di bawahnya sentiasa berusaha memastikan projek di peringkat Kelulusan Perintah Pembangunan dapat dipercepatkan ke peringkat pembinaan supaya ia dapat ditawarkan kepada rakyat dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek pembangunan Residensi Rimbunan di Bandar Baru Sri Petaling menawarkan kediaman pada harga RM297,888 dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Selain itu, ia bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti surau, dewan, taska, taman permainan dan empat ruang kedai untuk keselesaan penduduk,” katanya.

“Malah, saya difahamkan kerja pembangunan di atas tanah seluas 2.5 ekar ini sudah pun bermula dan dijangka siap pada 2020,” katanya.

Menurutnya, kementerian berpuas hati dengan pencapaian projek berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan dalam memastikan rakyatnya memiliki rumah sendiri.

“Kita akan terus berusaha untuk membina lebih banyak projek RUMAWIP supaya golongan sasaran yang berkelayakan dapat merebut peluang yang ditawarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 3:28 AM