Laporan dan gambar Mohamad Shahril Badri Saali

Cox’s Bazar: Pilu hati Maulana Hameed Hussien, 42, apabila isterinya meninggal dunia dipijak gajah liar ketika mereka tujuh beranak dalam perjalanan melarikan diri ke sempadan Myanmar dan Bangladesh dua minggu lalu.

Guru dan penceramah agama dari Fukirabazar itu berkata, isterinya Sabikum Nahar, 33, mati serta-merta selepas dipijak haiwan liar itu ketika mereka bersama lima anak berusia empat hingga 14 tahun berhenti rehat
di pinggir sebuah hutan.

“Selepas tiga hari penat berjalan, kami berhenti rehat di sebuah bukit untuk tidur sekejap.

“Namun, pada awal pagi itu di situlah isteri saya meninggal dunia dipijak gajah yang tiba-tiba muncul dari hutan, anak bongsu saya yang tidur berhampiran isteri bernasib baik tidak menjadi mangsa gajah itu,” katanya kepada Harian Metro yang mengikuti misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke Kem Kutupalong di sini, semalam.

Katanya, kejadian itu hampir mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjalanan yang hanya ditemani lima anaknya yang masih ‘mentah’ itu.

“Saya rasa kehilangan dan tak tahu nak buat apa melainkan hanya terfikir mengebumikan isteri di bukit itu.

“Dengan bantuan anak sulung, saya menggali tanah dalam hutan di bukit itu dan menanam jasad isteri tanpa kain kapan.

“Biarpun berat hati hendak meninggalkan jasadnya di situ, kami tetap meneruskan perjalanan untuk melintas sempadan,” katanya.

Bagi Annuara Begum, 48, dia tidak sempat meratapi pemergian suaminya yang ditembak tentera kerana mahu menyelamatkan diri dan segera sampai ke sempadan bersama anaknya.

“Suami meninggal dunia sebelum kami sampai di sempadan. Saya dan anak begitu terkilan tidak sempat mengebumikan dia kerana tergesa-gesa mahu menyelamatkan diri dan meneruskan perjalanan dengan melalui jalan berbukit selama lima hari.

“Sepanjang tempoh itu, kami hanya makan apa yang ada termasuk minum air sungai, biarpun hampir berputus asa tetapi kami teruskan juga demi mendapatkan perlindungan di sini,” katanya.

Suffiah Hartu, 30, pula terpaksa meneruskan perjalanan ke negara ini bersama lapan anaknya dengan hati yang berbelah bahagi tanpa suami dan anak sulung yang ditembak tentera ketika menuju ke sempadan.

“Kami sekeluarga bergerak bersama menuju ke sempadan tetapi dalam perjalanan anak sulung ditembak di leher manakala suami terpaksa menemaninya mendapatkan bantuan untuk ke hospital.

“Kali terakhir saya menerima panggilan daripada suami mengatakan anak kami itu nazak beberapa hari lalu tetapi panggilan terputus selepas itu. Hingga kini, saya tidak mendengar berita mereka lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 11:53 AM
BISKUT menjadi pengalas perut bagi kanak-kanak pelarian.
BISKUT menjadi pengalas perut bagi kanak-kanak pelarian.