GAJAH liar yang mengganas dan menyerang suami isteri di Kampung Gambaron, Telupid, berjaya ditangkap.
GAJAH liar yang mengganas dan menyerang suami isteri di Kampung Gambaron, Telupid, berjaya ditangkap.
Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Telupid: Suami isteri parah apabila diserang dan dipijak sekawanan gajah liar dalam kejadian, di sini, Kampung Gambaron, Jalan Laju Cahaya, di sini, kira-kira 6 pagi semalam.

Kuanyun Basinah, 39, cedera di belakang badan manakala isterinya yang masih belum dikenali berusia 40 tahun, turut cedera dirusuk selepas dipijak haiwan berkenaan.

Difahamkan, mereka dikatakan sedang membersihkan kebun sebelum gajah yang datang dari hutan berhampiran mula menyerang wanita terbabit.

Menyedari kejadian itu, suami mangsa cuba membantu menyelamatkan isterinya namun turut diserang.

Selepas 'mengamuk' beberapa minit, haiwan liar itu kemudian menuju semula ke hutan berhampiran.

Beberapa penduduk kampung yang melihat kejadian itu kemudian membawa pasangan suami isteri terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran Inspektor Nasyrul Ridzuan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Klinik Telupid untuk rawatan lanjut dan polis sudah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan, satu daripada sekawan gajah liar itu ditangkap JHL di hutan berhampiran kebun suami isteri terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Februari 2015 @ 2:43 AM