AMINAH menerima sumbangan baju sejuk dari wakil Muslim Care, Dr Syariz Izry Sehat di Pejabat Muslim Care Turki.
AMINAH menerima sumbangan baju sejuk dari wakil Muslim Care, Dr Syariz Izry Sehat di Pejabat Muslim Care Turki.
Muhaamad Hafis Nawawi


“HANYA kerana enggan menyebut La ilaha illa Bashar (Tiada Tuhan selain Bashar) menyebabkan suami saya ditembak mati pada tahun 2014,” kata pelarian Syria, Aminah Abbun, 34.

Lebih menyedihkan ketika tragedi meragut nyawa suaminya itu, dia baru 20 hari melahirkan anak bongsu mereka dan mengakui masih trauma apabila mengenang kembali peristiwa itu.

Dalam kejadian dikenali pembunuhan Kharbah itu, seramai 10 orang termasuk suaminya dibunuh tentera Bashar kerana mereka enggan menyebut kalimah itu.

Aminah berkata, selepas pihak tentera beredar barulah penduduk berani mengambil mayat itu dan mengebumikan semua mangsa.

Katanya, sejak peristiwa itu, dia terpaksa keluar dari kediamannya dan menjadi pelarian sehingga kini di Reyhanli.

“Saya juga terpaksa menampung kehidupan dengan bekerja sebagai tukang cuci bagi membesarkan 10 orang anak berusia lima hingga 21 tahun.

“Namun kudrat ini tidak sekuat dahulu selepas terjatuh ketika bekerja sehingga mengalami sakit belakang,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), di sini.

Katanya, anak-anaknya juga masih trauma selain sedih disebabkan kehilangan bapa dan rumah mereka.

Sementara itu, seorang lagi pelarian Syria, Huda Kassim, 45, yang berasal dari Idlib berkata, suaminya mati syahid pada 2012 pada bulan Ramadan.

“Pada waktu itu, suaminya ingin menutup kedai sebelum dia bersama dua lagi rakannya maut terkena bom.

“Saya dan empat anak berusia sembilan hingga 18 tahun berpindah ke sini (Reyhanli) pada bulan November 2015 kerana bimbang dengan keselamatan kami sekeluarga,” katanya.

Huda kini menjadi tenaga pengajar di sekolah kendalian Muslim Care di sini untuk membantu anak pelarian Syria mendapat pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 6:40 AM