ORANG ramai menghulurkan sumbangan serta bertanyakan sesuatu kepada pihak pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO Rosdan Wahid
ORANG ramai menghulurkan sumbangan serta bertanyakan sesuatu kepada pihak pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO Rosdan Wahid
Suraya Roslan


PENGURUSAN Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengumumkan penempatan petugas kaunter depan pusat itu hanya akan beroperasi sehingga 30 September ini.

Pengetua, Mohd Zahid Mahmood berkata, sejak hari pertama kejadian masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, pangkat dan darjat datang menziarahi pihaknya.

"Tidak kurang juga kunjungan daripada rakyat Singapura dan Brunei serta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli ke madrasah kami.

"Ini semua bagaikan siraman hujan rahmat daripada Allah SWT kepada diri kami, membuatkan kami mendapat kekuatan untuk menangani ujian besar yang dihadapi walaupun ada segelintir individu yang masih berkeras menyalahkan madrasah namun sokongan dan doa majoriti masyarakat serta solidariti sahabat komuniti tahfiz adalah sumber kekuatan buat kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sepanjang 10 hari sejak tragedi berlaku pihaknya menerima ucapan takziah dan sumbangan ikhlas daripada masyarakat.

"Kami tidak pernah menubuhkan sebarang tabung sumbangan. Apa yang berlaku, sumbangan ini datang daripada ketulusan hati masyarakat Malaysia itu sendiri.

"Segala sumbangan ini semua kami terima sebagai amanah untuk melaksanakan hasrat masyarakat menghulurkan bantuan kepada mangsa tragedi ini dan juga bagi tujuan pembangunan semula madrasah.

“Setinggi ucapan terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak yang membantu dan memberikan pelbagai bantuan kepada kami," katanya.

Beliau berkata, pengurusan madrasah memutuskan penempatan petugas di kaunter depan pusat tahfiz sehingga 11 malam, 30 September ini sahaja.

"Pengurusan sumbangan yang diterima kami akan laporkan dan bincang sewajarnya dengan pihak kerajaan serta pihak lain yang perlu dan berkaitan.

"Sekali lagi kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberikan sumbangan. Semoga Allah menjadikannya sebagai sandaran dan andalan bagi kejayaan dan keselamatan kita di Yaumil Mahsyar kelak," katanya.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 11:35 AM