MOHD Ismail (tengah) menyampaikan sumbangan kepada anggota polis yang kehilangan anak dalam insiden kebakaran Tahfiz Darul Ittifaqiyah.
MOHD Ismail (tengah) menyampaikan sumbangan kepada anggota polis yang kehilangan anak dalam insiden kebakaran Tahfiz Darul Ittifaqiyah.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: “Sejak kejadian itu, ramai yang prihatin dan tampil memberi sumbangan. Saya menggunakan wang derma itu untuk kebaikan dua anak yang ‘pergi’ dalam tragedi,” ujar F Zaskar Yusoh, 38, bapa kepada dua beradik yang meninggal dunia dalam kebakaran Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Datuk Keramat di sini, awal September lalu.

F Zaskar berpangkat Detektif Koperal dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat (IPD) Cheras berkata, tragedi itu meragut nyawa dua anaknya, Azkar Darimi, lapan tahun dan Azkar Abidi, 11.

Dia berkata, Azkar Abidi pernah memintanya membelikan jersi bola sebelum ini.

“Namun saya tidak sempat untuk membelikan jersi kepadanya sebelum kejadian menimpa. Jadi saya menggunakan duit sumbangan untuk mengadakan majlis tahlil di sebuah tahfiz di Klang dan menempah 90 jersi untuk disedekahkan kepada pelajar pusat pengajian itu.

“Saya tidak sempat membelikannya jersi, jadi saya sedekahkan jersi kepada pelajar tahfiz. Sekurang-kurangnya dapat juga kebaikan kepada anak saya hasil sumbangan daripada orang ramai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kewangan Kepada Anggota Polis oleh Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) di Pulapol di sini, semalam.

F Zaskar berkata, dia juga menggunakan wang sumbangan itu untuk membayar kos upah haji kepada dua arwah anaknya selain membeli buku Iqra untuk disedekahkan kepada pusat tahfiz di Klang.

Menurutnya, dia sekeluarga masih terasa kehilangan dua beradik ITU dan sesekali akan mencium kemeja-T dua beradik itu yang belum dibasuh sebagai pengubat rindu.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan serta yang memberi sumbangan kepada mangsa dan keluarga mangsa termasuk sumbangan pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bapa mangsa tragedi, Koperal Mohd Nor Hadi Abu Hassan berkata, kehilangan anaknya, Ahmad Harith Adam, 12, masih dirasai hingga kini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada RESPA kerana mengambil inisiatif mengutip derma untuk disumbangkan kepada kami berdua,” katanya.

Sementara itu, Presiden RESPA, Tan Sri Mohd Ismail Che Rus berkata, inisiatif itu diambil sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib keluarga mangsa terbabit walaupun ibu bapa mereka bukan ahli RESPA.

“Pada dasarnya peranan RESPA adalah menjaga kebajikan ahli tetap saja, namun kami bersimpati dengan nasib mereka dan berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 9:03 AM