PELAJAR tahfiz bergotong-royong membersihkan peralatan di madrasah.
PELAJAR tahfiz bergotong-royong membersihkan peralatan di madrasah.
HM Digital

Alor Gajah: Madrasah Tahfiz Ainur Syukriah di Kampung Panchor, Durian Tunggal, di sini, antara yang terjejas berikutan bencana banjir melanda daerah ini pada Selasa lalu berikutan hujan lebat berpanjangan.

Pengetuanya, Muhammad Sufian Ahmad Shukri berkata, akibat hujan lebat tiga jam, air sungai berhampiran melimpah bermula jam 4.30 petang menyebabkan surau madrasah itu ditenggelami air paras lutut.

Katanya, bangunan asrama menempatkan 80 pelajar dan kelas menghafaz tidak terjejas kerana berada di kawasan tinggi, namun mereka dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Masjid Kampung Panchor atas faktor keselamatan.

“Pada jam 9.30 pagi tadi (semalam) pihak berkuasa membenarkan kami pulang sebelum kakitangan dan pelajar bergotong-royong membersihkan surau serta madrasah.

“Kejadian banjir itu berlaku buat kali kedua tahun ini menyebabkan madrasah rugi berikutan kelengkapan dihanyutkan air,” katanya.

Muhammad Sufian berkata, proses pembelajaran terbantut namun langsung tidak melunturkan semangat mereka untuk terus menguasai ilmu Allah.

Menurutnya, proses menghafaz al-Quran dan sesi pembelajaran lain akan diteruskan seperti biasa selepas kerja membersihkan madrasah berkenaan selesai sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Setiap pelajar dibahagikan mengikut kumpulan, malah jika banjir kilat melanda, semula mereka sudah tahu tugas masing-masing.

“Sebelum pulang dari PPS, pegawai kesihatan turut melakukan pemeriksaan terhadap pelajar untuk mengesan jika mereka dijangkiti penyakit berjangkit akibat banjir, tapi syukur semuanya dalam keadaan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 3:57 AM