Penduduk sekitar menjala ikan di pekarangan masjid Jamek Raudhatus Solihin yang dinaiki air akibat banjir di Derang dekat Bukit Pinang, Pokok Sena. FOTO SHAHRIZAL MD NOOR
Penduduk sekitar menjala ikan di pekarangan masjid Jamek Raudhatus Solihin yang dinaiki air akibat banjir di Derang dekat Bukit Pinang, Pokok Sena. FOTO SHAHRIZAL MD NOOR
Suzalina Halid


SEKOLAH Kebangsaan (SK) Seri Banai, Jitra dan SK Bukit Hijau, Alor Setar akan ditutup esok berikutan banjir yang melanda lima daerah di Kedah sejak Khamis lalu.

SK Seri Banai ditutup bagi kerja membersihkan kesan banjir selepas ia dinaiki air, sementara SK Bukit Hijau yang menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diberi cuti kerana kenderaan ringan tidak boleh masuk ke sekolah itu selain kebanyakan kelas digunakan menempatkan mangsa banjir.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, hasil perbincangan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan menutup SK Seri Banai esok yang dinaiki air akibat banjir di daerah Kubang Pasu.

"Penutupan sekolah itu adalah bagi kerja membersihkan kelas yang dinaiki air, " katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahawangsa, Jitra, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Bashah berkata, bagi sekolah lain yang dijadikan PPS, ia dibuka seperti biasa dengan proses pembelajaran dijalankan di bahagian lain.

"Sesi pembelajaran diteruskan kerana ia tidak mengganggu pun cuma ada beberapa kelas yang digunakan menyebabkan proses pembelajaran dijalankan di ruang lain, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 4:18 PM