Rokok seludup yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Rokok seludup yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Ibrahim Isa


POLIS menahan dua peniaga kedai runcit di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, malam tadi kerana menjual pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM15,000.

Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, sepasukan polis menyerbu sebuah kedai di Teluk Jeri, Tanjung Sedeli kira-kira 10.30 malam selepas menerima maklumat orang ramai.

"Hasil serbuan, kami merampas 71 karton rokok putih dan 10 karton rokok kretek yang disimpan di belakang kedainya.

"Setengah jam kemudian, kami menyerbu sebuah kedai runcit di Kampung Tuan Seh, Tanjung Sedeli dan merampas 56 karton rokok putih dan 13 karton rokok kretek yang disimpan di ruang kaunter kedai berkenaan.

"Kedua-dua lelaki tempatan lingkungan 20-an serta 150 karton rokok seludup anggaran bernilai RM15,000 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dua suspek berkenaan ditahan reman empat hari sehingga 20 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 6:19 PM