SEORANG daripada empat pekerja warga Pakistan cedera selepas diserang lelaki bersenjatakan pedang samurai.
SEORANG daripada empat pekerja warga Pakistan cedera selepas diserang lelaki bersenjatakan pedang samurai.
HM Digital

Nibong Tebal: Berang dua rakannya dicekup ketika menyamun, seorang lelaki menetak empat pekerja warga Pakistan sehingga cedera di sebuah kedai perabot dekat Taman Seri Acheh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.55 pagi, empat pekerja Pakistan itu dikatakan membuka premis untuk memulakan perniagaan sebelum didatangi tiga suspek bertopeng menaiki kereta yang meluru masuk ke dalam kedai.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abd Samad berkata, berlaku pergelutan antara pekerja kedai dengan tiga suspek hingga topeng muka seorang daripada suspek terbuka.

“Pekerja kedai pada mulanya berjaya menahan dua suspek, namun seorang suspek menyerang mereka menggunakan pedang samurai.

“Mangsa yang cedera terkena libasan pedang samurai berkenaan terlepas dua suspek yang berjaya dicekup,” katanya.

Shafee berkata, suspek yang melihat pekerja tidak dapat berbuat apa-apa ekoran cedera kemudian melarikan wang tunai bernilai RM500 dan tiga telefon bimbit.

“Keempat-empat pekerja yang cedera dirawat di Hospital Parit Buntar, Perak dan mereka memaklumkan mengecam wajah suspek.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394, Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 9:36 AM