PEDANG samurai yang dipercayai digunakan suspek dirampas polis. FOTO ihsan Polis
PEDANG samurai yang dipercayai digunakan suspek dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Junaidi Ladjana


LELAKI cuba mengugut bunuh ibunya di dalam rumah mereka di Taman Pertama, Lahad Datu ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian 9 malam kelmarin, mangsa berusia 53 tahun cuba menegur suspek kerana memarahi isterinya yang menemui beg tangan wanita disyaki milik teman wanita suspek.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek tiba-tiba agresif dan marah lalu ke dapur rumah dan mengambil pedang samurai.

“Suspek kemudian mengugut akan membunuh mangsa dan semua orang dalam rumah. Isteri suspek terus mengambil pedang samurai dan mengarahkan suspek berhenti mengamuk.

“Suspek kemudian terus beredar daripada rumah. Akibat perbuatan suspek itu, mangsa yang bimbang kemudian menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini

Nasri berkata, suspek ditahan sepasukan polis 12.30 tengah malam semalam.

“Polis turut merampas pedang samurai yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika kejadian.

“Suspek berusia 27 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 11:23 AM