Ainul Durmahyanty Durming


LELAKI warga asing ditahan kerana disyaki membuat ugutan menggunakan pedang samurai terhadap lelaki lain di kediamannya di Felda Sahabat, Lahad Datu, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, suspek yang berusia 51 tahun didatangi mangsa yang ingin menuntut hutang.

Menurut sumber, suspek membeli pembesar suara berharga RM65 daripada mangsa dan berjanji akan membayar secara ansuran.

"Bagaimanapun, ketika mangsa datang ke rumah suspek untuk menuntut hutang, suspek bertindak kasar dengan menghempaskan pembesar suara itu sebelum masuk ke dalam rumah dan keluar semula sambil membawa senjata tajam dipercayai pedang samurai.

"Berikutan kejadian itu, mangsa telah membuat laporan berhubung kejadian itu sebelum suspek ditahan pada 3.40 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 3:09 PM