Kanak-kanak melecur berikutan disambar api dalam kejadian di bengkel motosikal. FOTO ihsan bomba
Kanak-kanak melecur berikutan disambar api dalam kejadian di bengkel motosikal. FOTO ihsan bomba
Ibrahim Isa


KANAK-kanak lelaki berusia 12 tahun melecur hampir 20 peratus apabila disambar api di bengkel motosikal bapanya di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru, 7.50 malam semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.53 malam dan sepasukan tujuh anggota serta pegawai dikejarkan ke lokasi membabitkan satu jentera dan kenderaan perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS).

"Apabila tiba kami dapati kebakaran dipadamkan menggunakan alat pemadam api oleh bapa mangsa.

"Mangsa yang melecur hampir 20 peratus di tubuhnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan menggunakan kenderaan EMRS.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan sambaran api dipercayai disebabkan haba dan tiada yang merokok di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, bapa mangsa, Teo Kow Leng, 41, cedera ketika cuba membantu memadamkan kebakaran pada mangsa namun tidak serius.

Bagaimanapun, siasatan lanjut punca kebakaran masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 11:46 AM