KEBAKARAN membabitkan rumah di Kampung Melisau Tenghilan, Tuaran. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN membabitkan rumah di Kampung Melisau Tenghilan, Tuaran. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi


KANAK-KANAK lelaki rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Melisau Tenghilan di Tuaran, kira-kira 5 pagi ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Joshua Frederick, 4.

Abang mangsa, Shafiq Frederick, 6, melecur di bahagian kedua-dua tangan dan kaki kini masih dirawat dalam wad kecemasan Hospital Tuaran.

Nenek kepada dua beradik terbabit, Mitah Diki, 64, pengsan dalam kejadian itu dipercayai akibat tekanan darah tinggi dan turut dikejarkan ke hospital sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.06 pagi sebelum 11 anggota ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan satu kenderan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati rumah musnah 90 peratus. Seorang mangsa (Joshua) terperangkap dan dua lagi (Shafiq dan Mitah) sempat menyelamatkan diri.

“Pasukan bomba berusaha memadam api sebelum menemui mangsa yang rentung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 5.55 pagi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 10:32 AM