Pasukan bomba memadam kebakaran di kawasan setinggan di Kolombong. FOTO Ihsan Bomba
Pasukan bomba memadam kebakaran di kawasan setinggan di Kolombong. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sekurang-kurangnya 20 rumah setinggan terbakar berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Kolombong, di sini, hari ini.

Kejadian 4 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan kehilangan nyawa namun seorang lelaki dilaporkan mengalami sesak nafas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.10 pagi.

Katanya, sepasukan 28 anggota dan pegawai bersama tiga jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penampang dan Kota Kinabalu dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati membabitkan rumah setinggan berkeluasan 5,574 meter persegi.

"Operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke sebahagian besar lagi rumah setinggan berhampiran," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Menurutnya, seorang mangsa yang dilaporkan mengalami sesak nafas diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.

"Operasi berjaya dikawal pada 5.05 pagi dan usaha memadamkan api kebakaran masih sedang giat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 9:28 AM