ABDUL Azeez (kiri)  bertemu anak Allahyarham Salleh, Norizan iaitu jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah.
ABDUL Azeez (kiri) bertemu anak Allahyarham Salleh, Norizan iaitu jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: Tiada jemaah haji Malaysia yang dilaporkan mengidap virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) dan Ebola pada musim haji tahun ini.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, perkara itu berdasarkan laporan dan makluman daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi berhubung jemaah haji negara ini.

“Justeru, TH akan meningkatkan tahap keselesaan terhadap jemaah haji Malaysia berikutan perkara ini (MERS-CoV dan Ebola).

“Malah, jemaah diwajibkan melalui saringan di semua lapangan terbang termasuk di negara ini sebagai langkah berjaga-jaga dan perkara berkenaan bukan baru, tetapi sudah dibuat sejak dulu,” katanya kepada pemberita pada majlis ziarah keluarga jemaah haji yang meninggal dunia di Tanah Suci di sini, semalam.

Abdul Azeez berkata, beliau menasihatkan semua jemaah supaya mengikuti nasihat doktor serta tidak lupa mengambil ubat jika diperlukan bagi memastikan kesihatan mereka terjamin.

“Jangan putus untuk mengambil ubat jika perlu dan apa jua sakit yang dihidapi, mereka diminta mengunjungi klinik disediakan di setiap Maktab TH di Tanah Suci.

“TH mempunyai ramai pakar dan doktor serta petugas di sana yang bertanggungjawab memastikan keselesaan semua jemaah haji negara ini.

“Lebih 2.1 juta umat Islam seluruh dunia menunaikan haji di Tanah Suci dan kami tidak tahu, kuman serta penyakit di situ. Kami berharap semua jemaah haji mengambil berat kesihatan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini seramai 21 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah serta Madinah dan daripada jumlah itu, empat daripadanya ialah dari Selangor.

“Seramai 10 jemaah haji meninggal dunia sebelum hari Wukuf manakala, 11 daripadanya meninggal dunia selepas hari Wukuf iaitu selesai semua Rukun Haji,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, sehingga kelmarin, seramai 5,398 daripada 22,320 jemaah haji Malaysia sudah pulang ke tanah air menerusi 14 daripada 64 penerbangan.

Mengenai majlis ziarah semalam, beliau berkata, jemaah haji Malaysia Allahyarham Salleh Mohamed Ja’afar, 72, yang juga pesara syarikat swasta sepatutnya tiba ke negara ini pada Jumaat lalu, namun meninggal dunia sehari sebelum kepulangannya ke tanah air.

“Allahyarham meninggal dunia jam 3 petang kerana jangkitan kuman dalam darah serta paru-paru. Hari ini (semalam), kami menziarahi keluarga arwah bagi menyampaikan sumbangan dan memaklumkan mengenai kematiannya kepada keluarga arwah.

“Jenazahnya disembahyangkan di Masjidil Haram serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ek, Makkah. Kita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala urusan termasuk sijil kematian, bagasi dan barangan milik arwah untuk diserahkan kepada keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:07 AM