ABDUL Razak (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah tugas oleh Awang Hidzel (kiri) kepada Mohd Zahar. FOTO Sharul Hafiz Zam
ABDUL Razak (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah tugas oleh Awang Hidzel (kiri) kepada Mohd Zahar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkiffli


LIMA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baru kategori D akan dibina di Kedah dan beroperasi selewat-lewatnya pada 2019.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda berkata,lima balai itu akan dibina di Jerlun dan Napoh di Jitra, Kota Sarang Semut di Alor Setar, Kuala Ketil di Kulim dan Padang Mat Sirat di Langkawi.

Beliau berkata, kesemua balai itu akan diisi dengan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) 24 orang di setiap balai dan empat anggota bomba tetap termasuk pemandu jentera dan penyelia akan diletakkan di balai berkenaan.

"Dengan adanya lima balai baru itu dan tiga BBP yang sedang dalam pembinaan iaitu di Pendang, Pokok Sena dan Aman Jaya di Sungai Petani, ia akan memantapkan lagi tugas pasukan bomba dalam memadam kebakaran dan tugas khas penyelamatan.

"Sebagai permulaan, kita akan melatih 63 anggota PBB untuk membantu anggota yang sedia ada dan akan mengambil 270 anggota bantuan selewat-lewatnya pada tahun 2019 nanti bagi mengisi kekosongan di lima balai baru berkenaan, " katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah JBPM Kedah di Dewan Bakti di Ibu Pejabat Bomba Kedah di Alor Setar, hari ini.

Dalam Majlis itu, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Awang Hidzel Awang Bujang menyerahkan tugasnya kepada Mohd Zahar Abdullah yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Komander SMART JBPM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 2:10 PM