AWANG Hidzel (tiga dari kanan) dan Nazri (dua dari kanan) melihat sijil  pemandu yang diterima. FOTO Rahmat Othman
AWANG Hidzel (tiga dari kanan) dan Nazri (dua dari kanan) melihat sijil pemandu yang diterima. FOTO Rahmat Othman
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Empat puluh pemandu jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menamatkan Kursus Pemanduan Kenderaan Kecemasan Siri 2 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), di sini, hari ini.

Mereka sebahagian daripada 187 pemandu jentera dari 16 BBP di negeri ini yang menyertai kursus selama lima hari sejak Ahad lalu untuk memantapkan lagi kemahiran memandu jentera bomba dalam apa jua keadaan.

Pegawai Bahagian Latihan JBPM Kedah, Penguasa Bomba Mohd Mazukhi Shaffie berkata, lapan jurulatih daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu terbabit mengendalikan latihan teori dan praktikal kursus berkenaan.

Beliau berkata, antara yang dipelajari dalam kursus itu termasuklah tatacara pemanduan, keselamatan dan penjagaan kenderaan, pemanduan dalam kecemasan dan menepati prosedur kerja.

"Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk menguji kecekapan semua pemandu jentera bomba memandu dengan selamat dan kecemasan supaya kenderaan dalam keadaan baik dan selamat.

"Mereka turut diajar kaedah pemanduan terutama ketika melalui jalan sempit, cabaran ketika waktu hujan, kesesakan, meletak kenderaan dan brek mengejut ketika halangan di hadapan," katanyaditemui selepas Majlis Penutupan Kursus, di BBP Yan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kursus itu diadakan secara berperingkat dan akan diadakan sekali lagi bulan depan dengan kehadiran wajib bagi semua pemandu jentera bomba di negeri ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Penguasa Kanan Bomba I Nazri Zakaria dan Penolong Pengarah Bahagian Latihan, Penguasa Kanan Bomba II Suriya Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 6:00 PM